KUALA LUMPUR 20 Mei - Malaysia Marine & Heavy Engineering (MMHE) mengenalpasti beberapa segmen bermargin tinggi yang mampu membantu kumpulan mengurangkan kesan sentimen negatif pasaran akibat krisis di Timur Tengah, menurut penganalisis.
MBSB Research berkata, segmen bermargin tinggi itu termasuk penukaran kapal tangki kepada Floating Production Storage and Offloading (FPSO) dan Floating Liquefied Natural Gas (FLNG), selain penyelenggaraan serta pembaikan kapal LNG yang kini semakin diperlukan pasaran global.
Firma penyelidikan itu berkata, pemerhati industri berpendapat syarikat eksplorasi dan pengeluaran (E&P) kini cenderung memilih penukaran kapal tangki sedia ada kepada FPSO atau FLNG berikutan kos lebih rendah dan tempoh pelaksanaan lebih pantas ketika harga minyak kekal tinggi.
Dalam masa sama, permintaan terhadap kapal LNG terus meningkat selari perkembangan perdagangan tenaga global yang semakin berkembang melangkaui penggunaan saluran paip tradisional.
"Perkembangan itu dijangka membuka peluang lebih besar kepada MMHE untuk menawarkan perkhidmatan premium kepada armada LNG lama dan baharu di peringkat antarabangsa," katanya dalam nota kajian hari ini.
MBSB Research menambah, selain memperkukuh segmen bernilai tinggi, MMHE turut meneruskan pelaksanaan program pemodenan limbungan bagi meningkatkan daya saing kumpulan berbanding limbungan kos rendah di rantau ini.
Antara fokus utama inisiatif itu termasuk automasi dan pendigitalan operasi, pengembangan kapasiti dok serta penaiktarafan kren selain penambahbaikan kemudahan limbungan mengikut piawaian alam sekitar yang semakin ketat.
Langkah pemodenan tersebut dilihat penting bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos jangka panjang serta memastikan kumpulan terus relevan dalam landskap industri marin dan kejuruteraan berat yang semakin kompetitif.
Mengambil kira prospek positif dalam segmen perkhidmatan bernilai tinggi dan usaha transformasi operasi yang sedang dijalankan, unjuran pendapatan MMHE bagi FY26 dan FY27 masing-masing disemak naik sebanyak 26% dan 18%.
Pelarasan itu juga dibuat sejajar dengan penilaian industri dan syarikat setara dalam sektor tenaga yang kini didagangkan pada penilaian lebih konservatif susulan ketidaktentuan geopolitik global.
Sementara itu RHB Research turut mengekalkan saranan "Beli" meskipun harga sasaran sahamnya disemak turun kepada RM0.44 daripada RM0.66 sebelum ini susulan prestasi suku pertama 2026 (1Q26) yang lebih rendah daripada jangkaan.
Firma penyelidikan berkata, keuntungan teras MMHE bagi 1Q26 berjumlah RM15.6 juta berada di bawah unjuran mereka dan konsensus pasaran masing-masing sebanyak 12% dan 13%.
Menurutnya, prestasi lebih lemah itu berpunca daripada sumbangan pendapatan yang lebih rendah dalam unit marin.
“Susulan keputusan itu, kami menurunkan unjuran pendapatan FY26F hingga FY28F masing-masing sebanyak 32.8%, 27.1% dan 25.7%.
“Pelarasan itu dibuat bagi mengambil kira kadar pelaksanaan projek yang lebih perlahan serta andaian margin yang lebih konservatif,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun, firma itu kekal positif terhadap prospek MMHE disokong buku pesanan yang sihat, peningkatan penglibatan dalam projek tenaga bersih dan rendah karbon serta strategi pemilihan kontrak yang semakin baik. - DagangNews.com








