Malaysia Marine & Heavy Engineering teroka kerjasama strategik dengan Hanwha dari Korea Selatan fokus projek maritim bersepadu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Marine & Heavy Engineering teroka kerjasama strategik dengan Hanwha dari Korea Selatan fokus projek maritim bersepadu

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 April - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd, sedang meneroka kerjasama jangka panjang dengan Hanwha Power Systems Co Ltd (HPS) dari Korea Selatan.

 

Kerjasama itu bertujuan membangunkan projek pembinaan baharu terpilih serta kerja penukaran dan naik taraf bagi aset sedia ada dalam sektor maritim.

 

MMHE berkata, di bawah kerjasama tersebut, pihaknya akan bertindak sebagai rakan limbungan strategik HPS di rantau ini dengan menyediakan keupayaan pembinaan dan pemasangan bagi menawarkan penyelesaian bersepadu.

 

Sementara itu, HPS akan menyumbang kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan perolehan untuk menyokong pelaksanaan projek termasuk pembinaan baharu, penukaran serta naik taraf dalam bidang strategik bersama.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MMHE, Mohd Nazir Mohd Nor berkata, kerjasama itu sejajar dengan strategi kumpulan untuk mempelbagaikan portfolio sambil mengekalkan kekuatan dalam perniagaan sedia ada.

 

“Kerjasama ini akan menyokong usaha penyahkarbonan pelanggan serta memacu industri maritim ke arah amalan lebih mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menambah, MMHE kekal komited untuk memacu inovasi dan mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam penyelesaian maritim mampan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HPS, Rafi Balta berkata, kerjasama tersebut membolehkan kedua-dua pihak menawarkan penyelesaian bernilai tinggi kepada pelanggan.

 

“Ia juga menyokong perjalanan penyahkarbonan serta memacu inovasi praktikal dan mampan dalam industri maritim,” katanya.

 

Secara keseluruhan, kerjasama itu dijangka memperkukuh kedudukan MMHE dalam segmen maritim serantau, khususnya dalam memenuhi permintaan terhadap penyelesaian tenaga dan operasi yang lebih lestari. - DagangNews.com