Malaysia lancar pemproses Edge AI tempatan pertama, MARS1000 rekaan SkyeChip | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia lancar pemproses Edge AI tempatan pertama, MARS1000 rekaan SkyeChip

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Malaysia telah melancarkan pemproses Edge AI pertama yang direka bentuk dan dibangunkan secara tempatan.

 

Diperkenalkan oleh pereka cip semikonduktor tempatan, SkyeChip Sdn Bhd, pemproses Edge AI tersebut dikenali sebagai MARS1000.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SkyeChip, Fong Swee Kiang berkata, MARS1000 merupakan cip IoT pintar pertama yang dibangunkan menggunakan teknologi proses 7-nanometer.

 

“Cip ini menyediakan penyelesaian yang berpatutan, pintar, cekap dan bersedia untuk kecerdasan buatan (AI). Dengan MARS1000, pemain industri Malaysia kini mempunyai cip tempatan yang boleh digunakan untuk menggerakkan pertanian pintar, Industri 4.0, bandar pintar, trafik pintar dan bandar selamat.

 

“Pada masa sama, cip ini akan membolehkan pembangunan sistem pembelajaran AI yang akan terus mendorong pelajar Malaysia untuk celik AI dan menjadi pekerja berpengetahuan AI yang terkemuka,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Merdeka Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) 2025 baru-baru ini.

 

Fong menambah bahawa dengan cip MARS1000, beliau berharap ia dapat membina satu ekosistem, bukan sahaja paten, harta intelek dan produk silikon, tetapi juga sebuah industri yang boleh berkembang dalam kitaran super AI yang baru bermula.

 

Dibina khusus untuk beban kerja Edge, MARS1000 membolehkan aplikasi robotik autonomi, analitik video pintar, bandar pintar, automasi industri, dan AI generatif — sekali gus meletakkan inovasi Malaysia di pentas global AI.

 

Selain itu, majlis berkenaan turut menyaksikan pengenalan EdgeMind, sebuah sistem Edge AI yang dibangunkan secara tempatan oleh Elliance Sdn Bhd.

 

Syarikat itu berkata, sistem Edge AI tersebut direka untuk mendemokrasikan penggunaan AI merentasi industri, pertanian dan pendidikan.

 

“Dengan membolehkan pembangunan rumusan AI yang lebih pantas, mudah dan berpatutan, EdgeMind dijangka mengubah cara teknologi AI digunakan dalam sektor ini. Peningkatan ini bukan sahaja akan memacu penambahbaikan ketara dari segi kecekapan dan keberkesanan operasi, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan bakat AI di Malaysia,” katanya.

 

Elliance ialah syarikat berpusat di Malaysia yang pakar dalam perundingan Industri 4.0 serta rumusan untuk industri pembuatan dan pertanian.

 

Pada November 2024, satu memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Elliance, SkyeChip, Kaltech dan Estek Automation. Kerjasama tersebut menandakan perkongsian strategik syarikat-syarikat ini dalam mereka bentuk dan menghasilkan sistem Edge AI pertama Malaysia.

 

Presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, eksport semikonduktor serta elektrik dan elektronik Malaysia mencatat pertumbuhan 15.7% pada separuh pertama 2025, sekali gus mengatasi pertumbuhan eksport keseluruhan sebanyak 3.8%.

 

Beliau menegaskan Malaysia sedang mencapai kemajuan dalam merealisasikan visinya sebagai hab global daripada reka bentuk litar bersepadu (IC design) ke pembungkusan termaju, inovasi peralatan sehingga ke pembuatan pintar dan pembangunan bakat.

 

Malaysia kini mempunyai dua Lighthouse Factories yang diiktiraf Forum Ekonomi Dunia: SanDisk Storage Malaysia iaitu kilang Rumah Api 4IR Maju dan Kelestarian pertama di Asia, serta tahun ini Agilent Technologies diiktiraf atas kepimpinan global dalam transformasi digital.

 

Syarikat tempatan juga semakin cemerlang. SkyeChip telah memfailkan lebih 90 paten dalam tempoh lima tahun dan menghasilkan IP silikon pelbagai generasi untuk AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi.

 

Elliance pula mereka bentuk sistem Edge AI yang membolehkan pelaksanaan AI tanpa perlu pengekodan mendalam. Swiftbridge telah membangunkan kabel ujian frekuensi tertinggi di Asia Tenggara pada 125GHz dan kini sedang memajukan pembangunan 145GHz untuk menyokong ujian 6G. - DagangNews.com