KUALA LUMPUR 3 Feb - Malaysia dijangka mampu terus menarik pelaburan dalam pembangunan pusat data kerana kelebihan daya saingnya dalam isu tanah, buruh, kos elektrik dan lokasi berdekatan Singapura.
RHB Research dalam nota penyelidikan terkininya berkata, tarikan tersebut disokong perkhidmatan yang didayakan kecerdasan buatan (AI) yang berkemungkinan bakal berkembang dari semasa ke semasa.
Ini ujarnya, turut didorong oleh aspek kemampuan dan kecekapan lebih baik serta permintaan untuk infrastruktur sokongan yang dijangka meningkat dengan sewajarnya.
"Justeru, pelaburan Amerika Syarikat (AS) mungkin terus datang ke Malaysia dengan andaian bahawa paradoks Jevons menjadi kenyataan berdasarkan potensi dalam pendemokrasian AI," katanya.
Malah RHB Research berkata bahawa prospek pemaju pusat data dijangka kekal kukuh dengan firma gergasi teknologi berterusan kekal dalam pelaburan AI.
“Kami berpendapat perancangan pembinaan pusat data Gamuda Bhd dan Sunway Construction Bhd tidak akan menghadapi pengurangan yang ketara, kerana kebanyakan pelanggan mereka adalah syarikat multinasional.
“Ini termasuk dari negara-negara bertaraf Tahap-1 seperti AS, Britain dan Belanda yang layak untuk dianggap sebagai kelompok pengguna akhir serta disahkan bertaraf universal," tambahnya.
RHB Research menekankan bahawa pertumbuhan berterusan penggunaan AI, didorong oleh trend pendemokrasiannya, boleh memberi manfaat kepada kontraktor yang terlibat dalam pembinaan pusat data.
Bahkan jelasnya, lebih banyak penyedia pusat data mungkin bersedia memasuki Malaysia yang mewujudkan peluang pekerjaan tambahan untuk ramai kontraktor.
"Meskipun begitu, kami mengakui ada risiko yang berpunca daripada isu ketidakpastian berlarutan dengan Presiden Donald Trump mempunyai tempoh 120 hari untuk mengulas mengenai sekatan cip AI.
"Sebarang kesan buruk yang besar mungkin memerlukan perubahan dalam gandaan penilaian untuk pihak kontraktor utama AS pada kemudian hari," katanya.
Pemangkin penilaian semula jelas RHB Research, adalah berpotensi termasuk kemungkinan pembuat cip dan penggubal dasar AS berpatah balik atau melonggarkan sekatan cip AI.
RHB Research mengulangi penarafan "overweight" untuk sektor pembinaan, dengan menamakan Gamuda, Kerjaya Prospek Bhd dan Sunway Construction sebagai pilihan utamanya.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan kemajuan DeepSeek boleh, sebaliknya, memangkin industri AS secara keseluruhan, jika dakwaan ke atas aplikasi itu terbukti benar," katanya. - DagangNews.com








