Malaysia catat jualan eksport RM432 juta di Pameran Saudi Build 2025 - Matrade | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia catat jualan eksport RM432 juta di Pameran Saudi Build 2025 - Matrade

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Nov – Malaysia mencatatkan jualan eksport sebanyak RM432.18 juta ketika menyertai pameran ‘Saudi Build 2025’ yang diadakan baru-baru ini.

 

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam satu kenyataan memaklumkan pameran itu adalah acara perdagangan utama bagi sektor perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan di Arab Saudi.

 

“Pavilion Malaysia menampilkan 16 peserta yang mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk bahan binaan, segmen kejuruteraan, teknologi pembinaan pintar, pengurusan projek serta rumusan tenaga yang menjana jualan terus sebanyak RM251.26 juta. 

 

“Selain itu, lima syarikat Malaysia turut menyertai di bawah program pembangunan kapasiti vendor (PPKV) yang dikendalikan SME Bank dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop),” katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain itu, Program Pembeli Global (GBP) Matrade pula membawa masuk pembeli antarabangsa dari Arab Saudi, UAE, Mesir, Nigeria dan Senegal yang menjana peluang eksport tambahan bernilai RM180.92 juta melalui sesi padanan perniagaan.

 

Matrade berkata, inisiatif ini membuktikan komitmen Malaysia dalam menyokong agenda Visi Arab Saudi 2030 dan memperkukuh hubungan perdagangan serta pelaburan dua hala, khususnya dalam sektor pembinaan dan infrastruktur yang menjadi tonggak pembangunan ekonomi kedua-dua negara.

 

Syarikat Malaysia yang menyertai pameran itu menawarkan pelbagai perkhidmatan canggih dalam Sistem Bangunan Berindustri (IBS), bangunan pintar dan teknologi hijau, bahan binaan maju serta perkhidmatan professional yang lain.

 

Matrade turut memudahkan sesi penglibatan dengan UEM Edgenta Bhd dan ACWA Power bagi memberi pandangan kepada syarikat Malaysia mengenai peluang memasuki pasaran dan rantaian bekalan di Arab Saudi.

 

Kejayaan ini meletakkan Malaysia sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam projek pembinaan dan infrastruktur di rantau Gulf Cooperation Council (GCC). 

 

Matrade merancang untuk terus mempromosikan syarikat Malaysia di Asia Barat melalui pameran perdagangan dan misi perniagaan, sekali gus meningkatkan eksport perkhidmatan pembinaan, bahan binaan dan penyelesaian teknologi hijau serta memperkukuh daya saing negara di peringkat global. - DagangNews.com