MOSCOW 3 Okt - Sidang Kemuncak Fesyen BRICS+ yang berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober 2024 di Moscow Russia, menjadi platform buat Malaysia yang berhasrat meluaskan kehadiran ke pentas antarabangsa dalam industri fesyen yang bernilai RM12.6 bilion, yang dijangka berkembang sebanyak 10 peratus menjelang 2029.
Mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak berkenaan ialah Presiden Persatuan Pereka Fesyen Malaysia, Jay Ishak, yang menghadirinya buat kali kedua.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, sidang kemuncak itu menjadi pemangkin pertumbuhan terutamanya untuk jenama fesyen bersaiz kecil dan sederhana yang berhasrat untuk memasuki pasaran antarabangsa.
"Platform ini memupuk amalan kelestarian, meningkatkan daya saing global dan mewujudkan tempat untuk berkongsi penyelesaian yang inovatif," katanya.
Satu pameran bertemakan Warisan turut diadakan di sidang kemuncak itu, yang menyaksikan pereka fesyen dari lebih 40 negara mengetengahkan rekaan masing-masing.
Pereka fesyen dari Malaysia Yani Bakhtiar berkata, beliau bersama pereka dari Indonesia, Myanmar, Laos, Kemboja, Filipina dan negara-negara lain, akan menampilkan identiti budaya masing-masing menerusi lensa moden.
"Pameran di Sidang Kemuncak Fesyen BRICS+ ini menyediakan peluang yang besar untuk menyerlahkan keunikan dan keindahan batik lukisan tangan kita serta berkongsi nilai dan cerita di sebalik rekaan ini.
"Penyertaan ini akan membantu kita untuk meluaskan rangkaian dan mencapai khalayak yang lebih meluas di pasaran global," katanya.
Acara besar-besaran itu yang menyusul selepas minggu fesyen di Milan dan Paris, akan mengetengahkan penyertaan lebih 100 negara dari lima benua.
Sidang kemuncak berkenaan merupakan platform yang praktikal untuk meneroka warisan budaya dari pelbagai negara, menampilkan fesyen, menjalin perkongsian perniagaan dan mempamerkan teknik kraf tradisional dari seluruh dunia.
Dalam lingkungan ekonomi BRICS, industri fesyen mengalami satu lonjakan dari segi kepentingannya dengan kemunculan ekosistem yang teguh bagi menyokong pelbagai aspek pengurusan rantaian bekalan sehinggalah pengeluaran dan pemasaran.
Perbincangan yang bernas dan semangat kerjasama memupuk hubungan komuniti yang utuh dalam kalangan negara BRICS, yang menyerlahkan keupayaan fesyen untuk dijadikan jambatan penghubung dari segi pertukaran budaya dan pembangunan ekonomi.
Program Perniagaan Sidang Kemuncak berkenaan bakal menyediakan platform yang sangat bernas dengan pelbagai maklumat dan begitu menarik dengan lebih daripada 40 sesi yang menampilkan pemimpin dalam industri fesyen dari seluruh dunia, termasuklah persatuan fesyen dan pereka berbakat.
Sidang Kemuncak Fesyen BRICS+ menjadi bukti kepada kuasa fesyen untuk menyatukan pelbagai budaya dan membentuk masa hadapan industri, sekali gus memacu pertumbuhan dan kemampanan ekonomi.
Bertitik tolak daripada kejayaan acara tahun lalu yang memudahkan pertukaran pereka antarabangsa antara persatuan fesyen dari China, India, Rusia dan negara lain, sidang kemuncak tahun ini menjanjikan kerjasama yang lebih mantap.
Minggu Fesyen Moscow dari 4 hingga 9 Oktober 2024, berlangsung serentak dengan sidang kemuncak itu dan akan menampilkan pereka fesyen dari negara BRICS lain. - DagangNews.com