Malaysia berdepan risiko baharu AS akibat hubungan dengan BRICS - penganalisis ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia berdepan risiko baharu AS akibat hubungan dengan BRICS - penganalisis ekonomi

KUALA LUMPUR 8 Julai – Malaysia kini berdepan ketidaktentuan baharu apabila Amerika Syarikat (AS) mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif tambahan sebanyak 10% terhadap mana-mana negara yang dilihat menyokong “dasar anti-Amerika BRICS.”

 

Perkembangan ini berlaku sehari sebelum Presiden Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif sebanyak 25% ke atas Malaysia, susulan Sidang Kemuncak BRICS baru-baru ini di Brazil yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Bagaimanapun, Anwar sebelum ini memaklumkan bahawa rundingan tarif antara Malaysia dan AS berjalan lancar.

 

Ancaman tarif terbaharu ini – yang menyasarkan negara yang dilihat rapat dengan BRICS – telah memberi tekanan kepada Bursa Malaysia semalam, dengan FBM KLCI susut 12.65 mata atau 0.82% untuk ditutup pada paras 1,537.54, sekali gus menamatkan sembilan hari berturut-turut kenaikan.

 

Pasaran secara keseluruhan turut lemah, dengan 754 kaunter rugi, 260 untung dan 446 tidak berubah.

 

 

BRICS

 

 

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie berkata, ancaman tarif AS ini adalah sebahagian daripada naratif dasar perdagangan AS yang terus berkembang.

 

“Malaysia nampaknya perlu bersedia untuk menghadapi ketidaktentuan ini buat masa sekarang.

 

“Jika berterusan, Malaysia perlu bersedia menghadapi situasi di mana tarif AS menjadi kebiasaan baharu di bawah pentadbiran Trump, malah mungkin berterusan selepas itu,” katanya kepada StarBiz.

 

Menurut beliau, syarikat-syarikat tempatan mungkin perlu menyusun semula rantaian bekalan bagi menyesuaikan diri dengan situasi baharu ini memandangkan kedudukan berkecuali Malaysia dalam geopolitik global bakal terus diuji.

 

Untuk rekod, BRICS ialah blok kerjasama ekonomi membabitkan negara ekonomi sedang pesat membangun utama.

 

Tahun lalu, BRICS telah berkembang daripada lima anggota asal – Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan – dengan penyertaan baharu melibatkan Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Blok ini ditubuhkan untuk meningkatkan pengaruh negara-negara ahli di pentas global serta menjadi penimbang kepada AS dan Eropah Barat, kini mewakili lebih separuh penduduk dunia.

 

 

BRICS

 

 

Ketua Ahli Ekonomi CGS International Securities, Ahmad Nazmi Idrus menyifatkan ancaman tarif 10% itu sebagai perkembangan negatif kepada Malaysia.

 

“Setakat ini, kami jangkakan Malaysia akan dikenakan tarif 10% (status quo) dan jika tarif ini meningkat, ia sememangnya negatif kepada ekonomi negara.

 

“Bagaimanapun, perlu ada penjelasan tentang maksud sebenar ‘pakatan dengan BRICS’. Malaysia sekadar rakan kerjasama, bukannya ahli penuh. Vietnam juga dalam kategori sama,” katanya.

 

Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Yeah Kim Leng berpendapat banyak negara mempunyai hubungan dagangan yang erat dengan BRICS dan tidak mudah goyah hanya disebabkan ancaman tarif 10% AS, terutama jika manfaat ekonomi bersama BRICS melebihi kos kehilangan akses pasaran AS.

 

 

BRICS

 

 

Dalam pada itu, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, Malaysia berpotensi besar untuk terkesan dengan tarif 10% AS terhadap negara yang dikaitkan dengan BRICS.

 

“Dengan tahap integrasi perdagangan yang mendalam dan pendedahan strategik kepada China, Malaysia mudah sahaja terheret sama dalam ‘jaring penalti’ AS – menjadi mangsa sampingan dalam perspektif Washington yang semakin bersifat ‘hitam-putih’ terhadap pakatan global.

 

“Eksport dari sektor utama seperti elektronik dan pembuatan pertengahan berdepan ketidaktentuan tinggi, khususnya jika pembeli AS mula memindahkan pesanan lebih awal,” katanya.

 

Bagaimanapun, Innes menegaskan bahawa risiko terbesar bukan sekadar perdagangan, tetapi reputasi negara.

 

 

BRICS

 

 

“Malaysia yang dilihat tergolong, walaupun secara tidak langsung, dalam kelompok BRICS mungkin menjejaskan selera pelabur asing – pada ketika Malaysia sedang giat menarik modal baharu.

 

“Isu ini bukan lagi sekadar soal tarif – ia berkisar tentang persepsi pakatan.

 

“Jika pendekatan berkecuali mula dilihat sebagai ‘endorsement senyap’ dalam kerangka pemikiran Trump, Malaysia perlu menilai semula bagaimana ia memposisikan dirinya dalam dunia di mana bersikap berkecuali juga boleh mengundang padah,” katanya. - DagangNews.com