KUALA LUMPUR 20 Feb – Malaysia Airlines bakal menambah penerbangan harian ketiga antara Kuala Lumpur dan Doha bermula 30 Jun 2026, sebagai langkah memperkukuh rangkaian laluan antara Malaysia dan Timur Tengah.
Penerbangan tambahan ini akan meningkatkan jumlah penerbangan mingguan kepada 21, berbanding 14 penerbangan ketika ini.
Langkah ini dibuat susulan permintaan yang konsisten bagi perjalanan antara Asia, Timur Tengah, Eropah, Afrika, dan Amerika, serta sebagai sebahagian strategi Malaysia Airlines untuk memperkukuh hubungan antarabangsa dan memanfaatkan kerjasama dengan Qatar Airways.
Dengan penambahan penerbangan ini, penumpang Malaysia Airlines akan menikmati akses lebih baik ke lebih 120 destinasi melalui Kuala Lumpur dan Doha.
Hamad International Airport di Doha akan menjadi hab strategik yang memudahkan sambungan ke Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Amerika.
Selain itu, peningkatan frekuensi dari Australia turut menyokong perjalanan timur dan barat yang lebih lancar, membolehkan penumpang menikmati pengalaman perjalanan yang lebih fleksibel dan lancar antara benua.
Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan Malaysia Aviation Group, Bryan Foong berkata penerbangan ketiga ini menunjukkan prestasi kukuh laluan Kuala Lumpur-Doha dan membuktikan kepentingan kerjasama strategik dengan Qatar Airways.
“Kapasiti tambahan ini membolehkan Malaysia Airlines meningkatkan sambungan global, memberi lebih pilihan kepada pelanggan, serta menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih berintegrasi di lokasi utama dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Jadual penerbangan baharu untuk menyaksikan penerbangan MH168 dari Kuala Lumpur ke Doha bermula 30 Jun 2026, manakala penerbangan pulang MH169 dari Doha ke Kuala Lumpur bermula 1 Julai 2026.
Penerbangan sedia ada MH160, MH164, MH161 dan MH165 akan terus beroperasi mengikut jadual semasa.
Malaysia Airlines merupakan syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia, menawarkan perkhidmatan penuh dan premium untuk sehingga 40,000 penumpang sehari.
Sejak September 2015, Malaysia Airlines dimiliki sepenuhnya oleh Malaysia Airlines Berhad dan merupakan sebahagian daripada Malaysia Aviation Group (MAG), sebuah kumpulan penerbangan global yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan penyelesaian perjalanan.
Sebagai ahli oneworld®, Malaysia Airlines menyediakan sambungan ke lebih 900 destinasi di 170 negara. Inisiatif keselamatan dan kebersihan MHFlySafe memastikan pengalaman perjalanan yang selamat dan lancar bagi semua penumpang. - DagangNews.com








