Malaysia Airlines sambung semula penerbangan terus ke Brisbane | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Airlines sambung semula penerbangan terus ke Brisbane

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 1 DisMalaysia Airlines kembali mengoperasikan penerbangan terus ke Brisbane, apabila penerbangan sulung MH135 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Brisbane awal pagi semalam waktu tempatan.

 

Pengendali syarikat penerbangan nasional itu, Malaysia Aviation Group (MAG) berkata, penyambungan semula perkhidmatan terus ke Brisbane mencerminkan komitmen berterusan Malaysia Airlines dalam mengukuhkan kehadirannya di Australia serta memperluas rangkaian globalnya.

 

“Pengembangan strategik ini menyokong aliran pelancongan dan perdagangan antara Malaysia dan Queensland, di samping menawarkan kemudahan serta lebih banyak pilihan kepada para penumpang,” kata Ketua Pegawai Komersial MAG, Dersenish Aresandiran dalam satu kenyataan.

 

Malaysia Airlines memaklumkan, sambutan terhadap laluan yang disambung semula itu amat menggalakkan dengan faktor muatan yang kukuh, masing-masing mencatat 86% bagi penerbangan pergi ke Brisbane dan 99% bagi penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

 

Menurut syarikat penerbangan itu, pencapaian tersebut mencerminkan permintaan yang memberangsangkan terhadap laluan berkenaan.

 

Bagi fasa awal, penerbangan ke Brisbane akan beroperasi sebanyak lima kali seminggu iaitu pada setiap Selasa, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad.

 

Dengan penambahan Brisbane, Malaysia Airlines kini mengendalikan penerbangan ke lima destinasi utama di Australia, iaitu Sydney, Melbourne, Perth, Adelaide dan Brisbane, sekali gus mengukuhkan lagi rangkaian Australia dalam strategi pengembangan antarabangsa syarikat penerbangan itu. - DagangNews.com