Malakoff terbit Sukuk Murabahah SRI RM450 juta, catat lebihan langganan 4.5 kali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff terbit Sukuk Murabahah SRI RM450 juta, catat lebihan langganan 4.5 kali

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 April - Malakoff Power Berhad (MPower), anak syarikat milik penuh Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), berjaya menerbitkan Sukuk Murabahah SRI bernilai RM450 juta di bawah Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM1.2 bilion.

 

Terbitan ini melakar sejarah sebagai Sukuk Murabahah SRI pertama di ASEAN yang dikhaskan untuk Projek Transisi, menandakan evolusi besar dalam landskap kewangan lestari di rantau ini. 

 

Terbitan ini juga menarik permintaan luar biasa dengan buku tempahan melonjak sehingga hampir lima kali ganda dan mencapai lebihan langganan akhir sebanyak 4.5 kali ganda, meskipun dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu. 

 

Minat yang teguh ini membolehkan MPower menetapkan tanda aras harga baharu, dengan harga akhir yang ketara lebih rendah berbanding terbitan tahun 2025. 

 

Maybank Investment Bank Berhad bertindak sebagai Pengurus Utama Tunggal, Agen Fasiliti dan Penasihat Penstrukturan Kemampanan, manakala Maybank Islamic Berhad bertindak sebagai Penasihat Syariah. 

 

Kerangka Kewangan Lestari Malakoff sebelum ini telah menerima Pendapat Pihak Kedua Penilaian Impak EMAS (GOLD) daripada MARC Ratings Berhad. 

 

Projek Hijau dan Transisi

Dalam kenyataan Malakoff berkata, hasil daripada terbitan ini akan digunakan untuk membiayai projek hijau dan transisi yang berkelayakan, selaras dengan Kerangka Kewangan Lestari Malakoff. 

 

"Secara khususnya, projek-projek ini sejajar dengan ambang pelepasan gas rumah hijau kitaran hayat Amber Tier 2 di bawah Taksonomi ASEAN bagi Kewangan Lestari (Versi 2), yang memberikan kredibiliti tinggi terhadap kriteria transisi transaksi tersebut," menurut kenyataan itu. 

 

Sebagai Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) terbesar di Malaysia, inisiatif ini menyokong transformasi strategik Malakoff ke arah portfolio tenaga yang lebih bersih. 

 

Penjajaran dengan Pelan Hala Tuju Transisi Tenaga Negara (NETR) ini memastikan Kumpulan terus melalui proses transisi yang terancang dan teratur, sambil mengekalkan keselamatan tenaga negara dan matlamat untuk mencapai Pelepasan Sifar Bersih menjelang 2050. 

 

mala

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Malakoff Syahrunizam Samsudin berkata terbitan ini merupakan gambaran jelas terhadap trajektori Malakoff yang bersedia untuk masa hadapan. 

 

"Kami sedang memperkukuh portfolio kami bagi memastikan penjanaan dan pembekalan tenaga yang dipercayai, sambil meningkatkan platform tenaga rendah karbon secara progresif. 

 

"Pendekatan kami adalah teliti; kami memperluas kapasiti tenaga boleh diperbaharui melalui solar dan hidroelektrik, di samping menggunakan gas berkecekapan tinggi sebagai bahan api transisi yang kritikal. 

 

"Sukuk ini membolehkan kami menyalurkan modal secara langsung ke dalam projek praktikal yang boleh dilaburkan dan selaras dengan permintaan tenaga negara," katanya.

 

Beliau menambah, kejayaan langganan ini mencerminkan keyakinan pasaran terhadap disiplin pelaksanaan dan penciptaan nilai jangka panjang kumpulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad, Michael Oh-Lau, berkata sebagai Sukuk Murabahah SRI pertama di ASEAN bagi Projek Hijau dan Transisi, transaksi ini menandakan langkah penting dalam memperluas landskap kewangan lestari di rantau ini sambil menyokong transisi tenaga dan keselamatan tenaga jangka panjang Malaysia. 

 

"Respons yang kukuh daripada pelabur mencerminkan keyakinan pasaran terhadap strategi transisi Malakoff dan minat yang semakin meningkat terhadap peluang pembiayaan hijau dan transisi yang boleh dipercayai. 

 

"Selaras dengan pelan strategik ROAR30 Maybank untuk menggerakkan RM300 bilion dalam kewangan Lestari menjelang tahun 2030, kami tetap komited untuk menyokong pembiayaan berimpak yang memacu pertumbuhan lestari buat pelanggan, komuniti, dan ekonomi secara amnya," katanya. - DagangNews.com