Malakoff meterai PPA lanjutkan operasi dua loji jana kuasa gas di Lumut hingga 2029 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff meterai PPA lanjutkan operasi dua loji jana kuasa gas di Lumut hingga 2029

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Mei - Malakoff Corporation Berhad memperoleh lanjutan operasi bagi dua loji jana kuasa berasaskan gas miliknya di Lumut, Perak dengan kapasiti gabungan sebanyak 1,732 megawatt (MW) sehingga akhir 2029.

 

Syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) itu berkata, anak syarikatnya, GB3 Sdn. Bhd. dan Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) baharu dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 15 Mei 2026.

 

Di bawah perjanjian tersebut, operasi komersial bagi loji turbin gas kitaran terbuka (OCGT) GB3 berkapasiti 429MW dijadual bermula selewat-lewatnya pada 1 Januari 2027, manakala loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT) Segari berkapasiti 1,303MW akan memulakan operasi selewat-lewatnya pada 1 Julai 2027.

 

Kedua-dua perjanjian itu akan tamat pada 31 Disember 2029.

 

PPA asal loji GB3 selama 21 tahun telah tamat pada 30 Disember 2022, manakala loji Segari yang tamat konsesi pada 30 Jun 2017 kini berada di bawah lanjutan operasi selama 10 tahun sehingga 30 Jun 2027.

 

Berdasarkan laporan tahunan 2025, Malakoff memiliki 93.75% pegangan ekuiti dalam loji Segari dan 75% dalam GB3.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, lanjutan operasi itu mencerminkan keyakinan terhadap prestasi dan kebolehpercayaan loji jana kuasa berkenaan dalam menyokong kestabilan bekalan elektrik negara.

 

“Pelanjutan operasi ini merupakan langkah praktikal dan bertanggungjawab kerana ia membolehkan kemudahan jana kuasa gas yang terbukti terus menyumbang kapasiti fleksibel dan boleh dihantar kepada grid nasional, terutama ketika permintaan tinggi.

 

“Pada masa sama, ia membolehkan penggunaan infrastruktur sedia ada dimanfaatkan secara lebih kos efektif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pada Mac lalu, Malakoff turut menerima lanjutan kontrak daripada TNB bagi loji jana kuasa Prai berkapasiti 350MW di Pulau Pinang sehingga Mac 2030. - DagangNews.com