Mal-Tel Technology menang kontrak RM4.5 juta bekalkan APMM kamera badan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mal-Tel Technology menang kontrak RM4.5 juta bekalkan APMM kamera badan

APMM akan dibekalkan dengan kamera badan bagi meningkatkan integriti dan keselamatan semasa operasi - gambar hiasan.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 28 Mac - Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal dibekalkan dengan kamera badan bagi tujuan keselamatan selain meningkatkan integriti semasa operasi.

 

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menganugerahkan kontrak tersebut kepada syarikat tempatan, Mal-Tel Technology Sdn. Bhd. (Mal-Tel Technology).

 

Menurut laporan laman web pertahanan Malaysia Defence, kontrak bernilai kira-kira RM4.5 juta itu bagi membekalkan kamera badan dan aksesori berkaitan kepada APMM.

 

 

Keputusan Surat Setuju Terima berkenaan telah diumumkan pada 6 Mac lalu, namun tidak dimaklumkan dengan terperinci jenis dan spesifikasi peralatan tersebut.

 

Kapal
Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim (kiri) melihat kamera badan yang disumbangkan BSN pada tahun 2023. 
 

 

Pada tawaran tender sebelum ini, KDN menawarkan kontraktor yang berkelayakan untuk membekalkan 763 kamera badan bersama lain-lain kelengkapan sokongan.

 

Difahamkan kamera badan ini nanti akan dibekalkan kepada semua ibu pejabat APMM di negeri-negeri untuk diagihkan kepada pasukan masing-masing.

 

Sebelum ini cadangan untuk menjadikan kamera badan sebagai kelengkapan tambahan kepada anggota APMM di lapangan telah diumumkan tahun lalu bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

 

Langkah berkenaan adalah satu daripada usaha memastikan penguat kuasa APMM melaksanakan tugas dengan penuh integriti khususnya ketika menjalankan operasi di perairan negara.

 

Kapal

 

Kapal
Kamera badan boleh merakam audio dan visual semasa operasi untuk dijadikan rekod.

 

Inisiatif itu di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) selain ke arah pensijilan MS ISO 37001 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS).

 

Pada Julai 2023, APMM melaksanakan projek rintis penggunaan kamera badan dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) yang menyumbang 5 unit kamera tersebut.

 

Kamera badan yang diberikan oleh BSN dilengkapi dengan teknologi terkini membolehkan pegawai-pegawai APMM merekodkan bukti audio dan visual.

 

Ia digunakan anggota APMM ketika mengiringi wang milik BSN ke Pulau Tioman, seterusnya memelihara integriti anggota penguat kuasa selain membentuk sikap telus dan profesional semasa menjalankan tugas.

 

Inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu APMM memastikan anggotanya berada pada tahap standard profesionalisme tinggi. - DagangNews.com