Maju Holdings berdepan perintah penggulungan selepas permohonan pengurusan kehakiman ditolak mahkamah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maju Holdings berdepan perintah penggulungan selepas permohonan pengurusan kehakiman ditolak mahkamah

KUALA LUMPUR 25 Nov - Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan pemegang konsesi lebuh raya MEX, Maju Holdings Sdn Bhd, untuk diletakkan di bawah pengurusan kehakiman (JM), sebaliknya mahkamah akan mendengar petisyen seorang pemiutang untuk menggulung syarikat tersebut.

 

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Suhendran Sockanathan Saheran Abdullah pada 17 November, lapor The Edge. Penghakiman tersebut hanya dimaklumkan kepada akhbar tersebut pada Isnin, 24 November.

 

Pesuruhjaya Kehakiman itu memerintahkan petisyen penggulungan yang difailkan lebih awal oleh Bridgex Sdn Bhd pada 20 April 2023 untuk didengar oleh mahkamah pada 16 Disember. Bridgex mendakwa terdapat hutang tidak berbayar hampir RM68 juta.

 

Suhendran memutuskan terdapat kekurangan niat baik dalam pemfailan permohonan JM tersebut dan tiada pelan pemulihan yang munasabah untuk menyusun semula Maju Holdings.

 

Suhendran juga memerintahkan Maju Holdings membayar kos RM30,000 kepada Bridgex yang telah membantah permohonan JM itu.

 

Difahamkan bahawa hutang tertunggak Maju Holdings boleh mencecah hampir RM1.5 bilion.

 

Maju Holdings telah memfailkan permohonannya untuk diletakkan di bawah JM pada 20 Mei tahun lalu di bawah Seksyen 404 dan 405 Akta Syarikat, ketika permohonan penggulungan oleh Bridgex dijadualkan untuk didengar pada akhir bulan tersebut.

 

Di bawah permohonan JM itu, Maju Holdings — yang kebelakangan ini menjadi perhatian umum melibatkan pemiliknya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed — mahu Datuk Dr V Shanmughanathan dilantik sebagai pengurus kehakiman, selain memohon agar semua prosiding penggulungan terhadapnya dihentikan.

 

Sementara itu, Bridgex telah memfailkan petisyen penggulungan selepas melakukan kerja-kerja untuk lebuh raya MEX II yang menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Ini berkaitan jumlah subkontrak sebanyak RM156.587 juta yang dibilkan oleh Bridgex kepada Maju Holdings bagi hutang diperakui dalam penyata akaun akhir bertarikh November 2022, di mana hanya RM88.592 juta telah dibayar, mengakibatkan RM67.994 juta masih tertunggak.

 

Dalam prosiding minggu lalu, Maju Holdings diwakili oleh Datuk Jasbeer Singh dan Nakeeran Kumar manakala Bridgex diwakili oleh Wong Hok Mun, Ivanpal Singh Grewal dan Keshvinder Kaur.

 

Ivanpal, ketika dihubungi, mengesahkan keputusan prosiding pada 17 November itu.

 

Abu Sahid, isterinya dan bekas pengarah Datuk Yap Wee Leong juga menjadi perhatian umum kebelakangan ini, di mana kedua-dua Abu Sahid dan Wee Leong masing-masing berdepan pertuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berkaitan projek Lebuhraya MEX II sepanjang 16.8km yang masih belum siap, dengan semua kes dijadualkan didengar di Kuala Lumpur.

 

Isteri Abu Sahid, Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi, turut dituduh dengan satu pertuduhan pengubahan wang haram kerana menerima RM67.1 juta daripada suaminya.