KUALA LUMPUR 1 April — Isu keselamatan dan gangguan perjalanan kini menjadi kebimbangan utama pekerja, termasuk di Malaysia, dengan majoriti sanggup melepaskan jawatan jika tiada perlindungan.
Laporan terbaharu Zurich Insurance Group menerusi Business Travel Outlook 2026 mendedahkan 60% responden mempertimbangkan berhenti kerja sekiranya aspek keselamatan tidak diutamakan majikan.
Kajian melibatkan 4,000 individu di seluruh dunia itu turut mendapati 80% mengalami sekurang-kurangnya satu gangguan perjalanan sepanjang 2025, manakala 53% berdepan insiden atau kecemasan.
"Lebih membimbangkan kami, 43% responden mengakui mereka kini berasa kurang selamat berbanding sebelum ini ketika melakukan perjalanan tugasan atau perniagaan," kata firma itu dalam kenyataan.
Menurut Zurich, risiko yang dihadapi bukan lagi sekadar kelewatan penerbangan atau isu logistik, sebaliknya sudah melibatkan ancaman lebih besar seperti bencana alam, dan ketegangan geopolitik.
Selain itu jelasnya, masalah ketidakstabilan sosial turut disenaraikan dengan isu-isu berkenaan pernah dialami oleh 20% responden, sekali gus melebihi faktor yang disebabkan insiden kesihatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perniagaan Global dan Operasi Zurich, Cara Morton berkata, landskap perjalanan perniagaan kini memasuki era baharu yang lebih kompleks dan mencabar.
“Gangguan, kebimbangan keselamatan dan tanggapan berubah sedang membentuk semula pengalaman perjalanan kerja. Majikan perlu mengambil langkah proaktif melindungi kebajikan pekerja,” katanya.
Keadaan ini tambahnya, menunjukkan pengurusan risiko perjalanan bukan lagi sekadar tanggungjawab kebajikan, malah ia merupakan keperluan strategik untuk mengekalkan pekerja berkemahiran tinggi.

Dalam konteks Malaysia, CEO Negara Zurich Malaysia, Junior Cho menegaskan keperluan syarikat untuk menyediakan perlindungan penuh termasuk kecemasan perubatan, gangguan perjalanan dan risiko siber.
Trend 'bleisure' atau gabungan perjalanan kerja dan santai, turut semakin popular, dengan 81% responden merancang pada 2026, dengan pasaran ini diunjur mencecah RM2.9 billion menjelang 2030.
"Situasi ini sekali gus menuntut pendekatan yang baharu dalam pengurusan risiko perjalanan, namun generasi muda khususnya Gen Z didapati paling terkesan apabila berlaku isu luar jangka," jelasnya.
Tinjauan Zurich mendapati 26% daripada mereka tidak pasti tindakan yang perlu diambil semasa kecemasan di luar negara, selain lebih terdedah kepada tekanan mental dan kehilangan barangan.
Sehubungan itu, firma tersebut berpandangan, majikan perlu memperkukuhkan dasar perjalanan dan sokongan kepada pekerja sejajar perubahan corak perjalanan semasa bagi memastikan keselamatan.
Majikan menurutnya, perlu lebih proaktif kerana kira-kira 58% pekerja percaya organisasi mereka boleh melakukan lebih banyak usaha untuk menjamin keselamatan sepanjang perjalanan tugasan.
"Zurich menekankan inisiatif syarikat yang berjaya adalah mereka melihat perlindungan perjalanan sebagai pelaburan dalam kelangsungan perniagaan, bukannya sebagai beban kos semata-mata," katanya.
Antara langkah disyorkan ialah penyediaan talian bantuan kecemasan, pemantauan kesihatan mental, serta polisi insurans meliputi ancaman siber dan perubatan yang boleh mencecah kos lebih RM600,000.
Usaha berkenaan ujarnya, adalah wajar untuk mengekalkan pekerja berbakat serta meningkatkan daya tahan organisasi dalam persekitaran global yang tidak menentu ketika ini. - DagangNews.com








