Majlis Media buka pendaftaran ahli Ogos ini, Mesyuarat Agung Tahunan dijadual November | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Majlis Media buka pendaftaran ahli Ogos ini, Mesyuarat Agung Tahunan dijadual November

PUTRAJAYA 15 Julai - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa pendaftaran keahlian bagi Majlis Media Malaysia (MMC) akan dibuka pada awal Ogos dan ditutup pada akhir September, dengan bayaran nominal sebanyak RM10, menurut Ahli Lembaga Pengasas Majlis itu.

 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini selepas penyerahan surat pelantikan kepada ahli Lembaga Pengasas oleh Datuk Fahmi, MMC mengumumkan bahawa permohonan keahlian boleh dikemukakan melalui laman web rasmi di www.majlismedia.my.

 

“Keahlian terbuka kepada pemilik media, profesional, individu dan organisasi yang terlibat dalam ekosistem media, serta mereka yang mewakili kepentingan awam,” menurut kenyataan tersebut.

 

MMC turut mengumumkan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertamanya akan berlangsung pada 7 November di Kuala Lumpur. Mesyuarat ini akan memilih ahli lembaga baharu dan membincangkan perkara penting termasuk struktur yuran keahlian, kod etika industri, mekanisme aduan, belanjawan tahunan dan undang-undang kecil MMC.

 

Pada mesyuarat pertamanya, Lembaga Pengasas telah melantik Premesh Chandran sebagai Pengerusi Interim, sementara menunggu pemilihan lembaga penuh pada akhir tahun ini.

 

Sebagai sebuah badan kawal selia kendiri yang bebas untuk industri media Malaysia, MMC dijangka memainkan peranan penting dalam mempromosikan kewartawanan beretika dan bertanggungjawab, menetapkan kod etika industri, dan berfungsi sebagai jambatan antara media, kerajaan dan rakyat.

 

“MMC akan meningkatkan profesionalisme dalam industri media dan melindungi kepentingan awam dalam persekitaran media yang semakin kompleks,” tambah kenyataan itu.

 

Struktur MMC direka bagi memastikan perwakilan yang meluas, dengan Lembaga Pengasas terdiri daripada wakil-wakil yang dipilih dari penerbit media, profesional media dan kumpulan kepentingan awam, termasuk ahli akademik dan wakil masyarakat sivil.

 

“Selain itu, kerajaan boleh melantik dua orang wakil. Menariknya, Akta MMC 2025 menetapkan bahawa sekurang-kurangnya 25 peratus ahli lembaga mestilah dari Sabah dan Sarawak, dan kepimpinan Majlis mesti mencerminkan kesamarataan jantina — yang pertama di Malaysia,” katanya.

 

Dalam kenyataan yang sama, ahli Lembaga Pengasas Phyllis Wong dari Borneo Post dan Utusan Borneo berkata beliau berasa amat berbesar hati diberi kepercayaan memikul tanggungjawab tersebut, dan berasa terharu dengan komitmen bersama untuk menegakkan etika dan akauntabiliti media, walaupun MMC masih belum beroperasi sepenuhnya.

 

“Ini menandakan permulaan suara yang bersatu bagi kewartawanan yang bertanggungjawab di Malaysia,” katanya.

 

Ahli lembaga lain, Ronnie Teo dari Persatuan Wartawan Bahagian Kuching, menyifatkan MMC sebagai platform yang telah lama dinantikan untuk menyatukan para profesional media dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. — BERNAMA