KUALA LUMPUR 27 Dis - Majlis Bandaraya Ipoh mengumumkan cukai taksiran antara 0.25 peratus hingga 2 peratus mengikut jenis bangunan, lebih rendah berbanding cadangan antara 4% hingga 9% sebelum ini.
Keputusan itu dibuat menerusi pewartaan Pengesahan Senarai Nilaian Baharu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pengesahan Senarai Nilaian Baharu itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak pada 11 Disember lalu bagi semua pegangan berkadar di dalam kawasan pentadbiran MBI.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa siri sesi libat urus bersama penduduk dan pemilik harta, selain bersama wakil rakyat dalam kawasan pentadbiran MBI serta beberapa persatuan atau pertubuhan perniagaan dan perkilangan.
"Pengesahan Senarai Nilaian Baharu ini telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Perak pada 26 Disember 2024," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, MBI juga mengadakan sesi libat urus bersama Persekutuan Pekilang Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Negeri Perak, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPMM) Perak, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI), Dewan Perniagaan India Perak (PICC) dan Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) Perak pada 18 Disember lalu.
Jelas beliau, pertemuan itu menyaksikan persetujuan bersama bagi penubuhan Jawatankuasa Timbang Tara terdiri daripada panel tiga orang Ahli Majlis MBI, wakil persatuan yang terbabit, Jabatan Penilaian dan Hartanah MBI dan dipengerusikan oleh ahli majlis.
Tambahnya, MBI juga sudah mengadakan sesi Pendengaran Bantahan Fasa 1 pada 6 Disember 2024 membabitkan sebanyak 80 orang pemilik harta, dengan sesi Pendengaran Bantahan Fasa 2 akan diteruskan bermula 7 Januari 2025 sehingga pertengahan bulan Mac 2025.
"Keputusan daripada sesi libat urus dan sesi Pendengaran Bantahan itu, akan dijadikan asas pertimbangan dalam penentuan cukai taksiran," jelasnya.
Pada pertengahan bulan lalu, MBI mencadangkan kenaikan cukai taksiran antara 4% untuk kampung, 5% untuk kampung baharu dan 9% untuk taman-taman perumahan bermula 1 Julai 2025, sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Presiden Ipoh City Watch, Dr. Richard Ng ketika itu berkata, kenaikan cukai taksiran harus mengambil kira faktor lokasi, infrastruktur, aktiviti ekonomi dan kemudahan sedia ada. - DagangNews.com








