KUALA LUMPUR 13 Jan – Tindakan PETRONAS membawa isu perundangan yang melibatkan syarikat milik negeri Sarawak, Petros ke Mahkamah Persekutuan dilihat sebagai langkah penting bagi menyelesaikan pertikaian undang-undang yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Menurut pakar perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, keputusan mahkamah tertinggi negara akan menjadi penentu kepada persoalan undang-undang antara Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) dan Ordinan Negeri Sarawak.
"Dua undang-undang ini perlu diteliti dan mahkamah akan tentukan mana satu yang mempunyai keutamaan," katanya ketika dihubungi DagangNews.com.
Tambahnya, penyelesaian melalui mahkamah bukan sahaja akan memudahkan operasi PETRONAS malah ia juga akan memberi satu kepastian kepada Petros.
"Persoalan undang-undang ini akan menentukan hala tuju kedua-dua syarikat. Penyelesaian melalui mahkamah adalah jalan terbaik untuk mengatasi dilema ini," ujarnya.

Rundingan antara PETRONAS dan Petros telah berlangsung lama, namun masih belum berjaya mencapai kata sepakat, menyebabkan tindakan mahkamah dilihat sebagai langkah terakhir kemelut tersebut.
Mahkamah Persekutuan, katanya, merupakan institusi tertinggi yang berkuasa untuk membuat keputusan dalam perkara ini.
"PETRONAS telah membuat permohonan ke Mahkamah Persekutuan kerana mahkamah ini memiliki kuasa tertinggi untuk menetapkan keputusan," jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan mahkamah kelak boleh menjadi rujukan kes yang penting, bukan sahaja untuk Sarawak, tetapi juga bagi negeri-negeri lain yang mungkin menghadapi isu undang-undang serupa pada masa depan.
"Jika ada isu yang sama timbul di negeri lain, keputusan ini boleh dijadikan rujukan," tambahnya.
Semalam, PETRONAS memfailkan suatu notis usul di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya bertujuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak.
Syarikat minyak dan gas negara itu menamakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak sebagai responden.
PETRONAS memaklumkan permohonan berkenaan difailkan dengan tujuan memastikan ia dapat terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik.
PETRONAS menegaskan permohonan tersebut tidak berhasrat untuk mencabar aspirasi pembangunan Sarawak mahupun menghalang peranan yang dimainkan Petros dalam sektor tenaga di negeri tersebut. - DagangNews.com








