MAHB jalankan percubaan sistem VAMS di KLIA Terminal 2 selepas kejayaan di Terminal 1 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB jalankan percubaan sistem VAMS di KLIA Terminal 2 selepas kejayaan di Terminal 1

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Mac - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kini menjalankan percubaan pelaksanaan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) di Kuala Lumpur International Airport Terminal 2 (KLIA T2) selepas kejayaan pelaksanaannya di Kuala Lumpur International Airport Terminal 1 (KLIA T1) tahun lalu.

 

Percubaan sistem itu yang bermula baru-baru ini akan berlangsung sehingga 30 Mac 2026 dan meliputi kawasan laluan turun dan ambil penumpang (kerbside) bagi bahagian pelepasan serta ketibaan.

 

Melalui sistem tersebut, kenderaan akan melalui pintu penghadang automatik dengan had masa tertentu bagi kemasukan dan keluar, sekali gus membantu mengurus aliran trafik di kawasan terminal dengan lebih teratur.

 

Selepas tempoh percubaan tamat, caj akan dikenakan kepada kenderaan yang melebihi tempoh masa dibenarkan di kawasan kerbside.

 

Pengarah Urusan MAHB, Mohd Izani Ghani berkata, fasa kedua pelaksanaan VAMS di KLIA T2 mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk meningkatkan tahap kecemerlangan perkhidmatan di lapangan terbang tersebut.

 

“Dengan memperbaiki aliran trafik di kawasan kerbside serta memastikan kadar pusing ganti kenderaan yang lebih baik, sistem ini menyokong pengalaman yang lebih lancar dan selamat untuk penumpang serta mereka yang menghantar atau menjemput penumpang, khususnya ketika permintaan perjalanan semakin meningkat,” katanya.

 

Sistem VAMS di Kuala Lumpur International Airport menyediakan tempoh ihsan selama 10 minit bagi kenderaan yang menurunkan atau mengambil penumpang.

 

vams1

 

Sepanjang tempoh percubaan di KLIA T2, tiada sebarang penalti akan dikenakan kerana fokus utama adalah untuk memantau corak trafik serta tingkah laku pemandu sebelum pelaksanaan penuh sistem tersebut.

 

KLIA T2 merekodkan purata kira-kira 16,000 pergerakan kenderaan setiap hari di kawasan kerbside dan tempoh percubaan ini akan membantu menentukan pelarasan operasi yang paling sesuai sebelum sistem dikuatkuasakan sepenuhnya.

 

Sistem VAMS yang diperkenalkan di KLIA T1 tahun lalu berjaya mengurangkan kesesakan trafik di kawasan kerbside secara ketara.

 

Kurang daripada 1% kenderaan didapati melebihi tempoh masa yang dibenarkan, bersamaan kira-kira 194 daripada 43,000 kenderaan yang melalui kawasan tersebut setiap hari.

 

Penambahbaikan itu membantu memastikan aliran trafik lebih lancar di kawasan terminal selain menyokong operasi trafik yang lebih selamat.

 

Pelaksanaan VAMS di KLIA T2 dijangka memberikan manfaat sama termasuk meningkatkan kadar pusing ganti kenderaan, memendekkan masa menunggu serta menambah baik tahap keselamatan di kawasan kerbside, sekali gus memperkukuh komitmen lapangan terbang tersebut dalam menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih cekap dan mesra penumpang. - DagangNews.com