Mah Sing umum pembangunan M Cora dengan GDV RM528 juta di Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing umum pembangunan M Cora dengan GDV RM528 juta di Pulau Pinang

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 10 Nov Mah Sing Group Bhd memperkukuh kedudukan pasaran hartanahnya dengan pelancaran projek pembangunan bercampur terbaharu, M Cora, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM528 juta. Projek itu bakal dibangunkan di lokasi strategik hanya 450 meter dari Stesen Bandar Sri Pinang di bawah Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara.

 


Mah Sing dalam kenyataan hari ini berkata, projek itu dibangunkan di atas tanah seluas 2.83 ekar yang diperoleh daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan harga RM51.8 juta.

 


Menurut Mah Sing, M Cora merupakan pengambilalihan tanah keempat kumpulan itu bagi tahun 2025 dan menambah kepada portfolio projek kumpulan di Pulau Pinang yang bermula sejak 2009.

 


Katanya, pembangunan itu akan merangkumi kondominium dua bilik dengan keluasan antara 904 kaki persegi hingga 1,015 kaki persegi, serta unit komersial dengan tiga pilihan saiz iaitu 450, 660 dan 750 kaki persegi. 

 


Projek itu dijangka dilancarkan pada separuh kedua 2026 dengan harga bermula daripada RM426,000.

 


Majlis menandatangani perjanjian jual beli tersebut turut disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, sebagai tanda keyakinan kerajaan negeri terhadap rekod prestasi Mah Sing dalam pembangunan mampan dan selaras dengan visi negeri ke arah pertumbuhan ekonomi inklusif, pemerkasaan komuniti dan adaptasi teknologi pintar.

 


Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Mah Sing, Datuk Voon Tin Yow, serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kanan PDC, Datuk Mohammad Azhar Hamdan.

 


Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Datuk Seri Leong Hoy Kum berkata, projek M Cora bukan sahaja menandakan pelaburan berterusan syarikat di Pulau Pinang, tetapi juga komitmen jangka panjang terhadap pembangunan komuniti bandar yang lestari dan berdaya huni.

 


“Mah Sing telah menjadi sebahagian daripada kisah pertumbuhan Pulau Pinang hampir dua dekad. M Cora melambangkan kesinambungan komitmen kami untuk membangunkan kediaman moden yang menggabungkan gaya hidup, konektiviti dan nilai pelaburan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 


Tambahnya lagi, lokasi M Cora yang berhampiran LRT Mutiara sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen utama akan memberi kelebihan daya tarikan tersendiri kepada pembeli rumah dan pelabur.

 


“Kedudukannya berhampiran stesen LRT dan akses terus ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu meletakkan M Cora sebagai projek bercampur baharu yang berpotensi menjadi penanda aras bagi gaya hidup urban moden di Pulau Pinang,” katanya.

 


Beliau menambah, Mah Sing akan terus meneroka tanah strategik di seluruh Malaysia untuk memacu pertumbuhan masa depan.

 


“Dengan kekuatan kewangan dan momentum pengembangan semasa, kami berada dalam kedudukan kukuh untuk mengambil peluang baharu yang sejajar dengan permintaan pasaran. 

 


Pendekatan disiplin dan keupayaan pelaksanaan kami membolehkan Mah Sing bergerak pantas dalam merebut peluang pembangunan bernilai tinggi,” katanya lagi.

 


Mah Sing kini memiliki rekod kukuh di Pulau Pinang dengan projek-projek terdahulu seperti Southbay Township, Residence@Southbay, Legenda@Southbay, Southbay Plaza, The Loft, M Vista, dan Ferringhi Residence 1 & 2.

 


Menariknya, Menara B Ferringhi Residence 2 kini sudah 89% terjual, manakala menara A dan C akan dilancarkan tidak lama lagi, yang disokong oleh projek infrastruktur utama seperti Jalan Lingkar Utara (North Coastal Paired Road - NCPR) yang bakal meningkatkan keterhubungan dan nilai hartanah di kawasan tersebut.

 


Pelancaran M Cora turut mengikuti kejayaan projek M Zenni di Southbay yang dilancarkan bulan lalu, dengan GDV RM309 juta dan 494 unit kediaman bernilai daripada RM480,000 seunit, menunjukkan permintaan kukuh terhadap projek mampu milik berkualiti tinggi Mah Sing di utara tanah air. - DagangNews.com