Mah Sing perkukuh kedudukan di utara, M Cora bantu pertumbuhan jualan baharu - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing perkukuh kedudukan di utara, M Cora bantu pertumbuhan jualan baharu - MBSB Research

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 11 Nov – Pelancaran projek M Cora di Georgetown, Pulau Pinang oleh Mah Sing Group Bhd mampu mengekalkan pertumbuhan jualan baharu, sekali gus menyokong prospek pendapatan kumpulan, menurut MBSB Research.

 

Firma pelaburan itu berkata, projek tersebut juga menunjukkan kecekapan kumpulan dalam mengenal pasti lokasi bernilai tinggi pada harga kompetitif apabila nisbah kos tanah kepada GDV hanya 9.8%, jauh lebih rendah berbanding 11% hingga 17% bagi pemerolehan tanah projek Siri M yang lain.

 

Semalam, Mah Sing mengumumkan telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan Penang Development Corporation (PDC) pada 10 November 2025 bagi membeli tanah pajakan seluas 2.83 ekar di lokasi utama Georgetown, Pulau Pinang bernilai RM51.8 juta, sekali gus membuka laluan kepada pelancaran projek M Cora di bawah jenama popular Siri M.

 

"Mah Sing bercadang untuk membiayai pemerolehan tanah ini melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank. Kami menjangkakan kesan terhadap lembaran imbangan adalah terhad kerana pembayaran dibuat secara berperingkat. 

 

"Perlu diingat bahawa deposit sebanyak 20% akan dibayar semasa pelaksanaan perjanjian jual beli, manakala baki 80% akan dibayar dalam tiga ansuran dalam tempoh 36 bulan akan datang. Nisbah hutang bersih dijangka meningkat sedikit kepada 0.24x daripada 0.23x pada 2QFY25," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan itu, MBSB mengekalkan saranan BELI terhadap saham Mah Sing, dengan harga sasaran (TP) disemak naik kepada RM1.52 daripada RM1.51 selepas mengambil kira sumbangan tambahan daripada projek M Cora.

 

"Kami berpendapat bahawa pengembangan projek siri M di wilayah utara Malaysia akan mengekalkan pertumbuhan jualan baharu, sekali gus menyokong prospek pendapatan kumpulan," katanya.

 

Menurut MBSB, projek M Cora, melibatkan pembangunan bercampur merangkumi kondominium dan suite komersial, dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM528 juta.

 

Harga jualan indikatif bermula daripada RM426,000, dengan saiz unit antara 450 kaki persegi hingga 1,015 kaki persegi, menjadikan M Cora antara projek mampu milik yang berpotensi menarik minat pembeli rumah pertama dan golongan profesional muda.

 

Pendaftaran minat dijangka bermula pada separuh kedua FY2026 (2HFY26), manakala lokasi projek itu dilihat amat strategik kerana terletak hanya 450 meter dari Stesen Bandar Sri Pinang bagi Laluan LRT Mutiara yang akan datang, yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada peningkatan nilai hartanah di kawasan tersebut. - DagangNews.com