MAG umum persaraan Kapten Izham, lantik Kapten Nasaruddin sebagai Presiden & CEO Kumpulan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAG umum persaraan Kapten Izham, lantik Kapten Nasaruddin sebagai Presiden & CEO Kumpulan baharu

Kapten Nasaruddin A. Bakar (kiri) dan Datuk Kapten Izham Ismail (kanan)
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Nov – Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan persaraan Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Kapten Izham Ismail berkuat kuasa pada 31 Januari 2026 selepas berkhidmat dengan cemerlang lebih empat dekad bersama syarikat itu.

 

Selaras dengan pelan penggantian strategik Kumpulan, Lembaga Pengarah telah melantik Kapten Nasaruddin A. Bakar sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, iaitu satu jawatan baharu menggantikan Pengarah Urusan Kumpulan.
 

 

MAG berkata, Kapten Izham yang memulakan kerjayanya sebagai juruterbang Malaysia Airlines pada 1979, memegang jawatan Pengarah Urusan Kumpulan sejak 1 Disember 2017, menjadikannya ketua eksekutif paling lama berkhidmat dalam sejarah syarikat. 

 

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memimpin usaha penyusunan semula kewangan dan penambahbaikan operasi, memulihkan keuntungan MAG dan meletakkan syarikat pada kedudukan kewangan yang lebih kukuh,” kata MAG dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kapten Nasaruddin pula, seorang pemimpin tempatan dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam operasi penerbangan, pengurusan dan peranan strategik dalam MAG, sebelum ini memegang beberapa jawatan kepimpinan dalam Kumpulan termasuk sebagai Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines. 

 

MAG berkata, beliau terlibat dalam pelbagai inisiatif transformasi, termasuk pemulihan MASwings pada 2022 dan pelaksanaan struktur berasaskan keuntungan di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 (LTBP2.0).

 

“Sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Nasaruddin akan memacu pelaksanaan keutamaan strategik MAG, meningkatkan kecemerlangan operasi, pengalaman pelanggan dan pertumbuhan mampan bagi perniagaan penerbangan dan bukan penerbangan, selaras dengan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0). 

 

“Beliau akan disokong oleh pasukan pengurusan yang mantap merentasi tiga pusat keuntungan iaitu Perniagaan Penerbangan, Kesetiaan dan Perkhidmatan Pelancongan, serta Perkhidmatan Penerbangan,” kata MAG.

 

Sementara itu, Ahli Lembaga MAG dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir menyifatkan tempoh perkhidmatan  Kapten Izham sebagai satu contoh kepimpinan cemerlang yang memacu transformasi dan pertumbuhan MAG.

 

“Bagi pihak Lembaga Pengarah dan seluruh keluarga MAG, kami ingin merakamkan penghargaan yang setulus-tulusnya kepada Datuk Kapten Izham atas perkhidmatan dan kepimpinan cemerlang beliau. 

 

“Beliau telah menunjukkan komitmen tanpa henti, integriti dan dedikasi dalam membimbing MAG melalui tempoh transformasi dan pertumbuhan yang penting. 

 

“Tempoh perkhidmatannya telah mengukuhkan Kumpulan, menentukan hala tuju strategiknya dan memupuk budaya prestasi tinggi yang meletakkan MAG untuk terus berjaya. Kami mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam usaha masa depannya,” katanya.

 

Beliau turut menyambut baik pelantikan Kapten Nasaruddin yang diyakini mampu meneruskan agenda strategik Kumpulan dan memperkukuh kedudukan MAG dalam landskap penerbangan global yang kompetitif.

 

“Kami gembira mengalu-alukan Kapten Nasaruddin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group. 

 

“Beliau membawa pengalaman luas dalam Kumpulan serta pemahaman mendalam mengenai perniagaan dan industri. Lembaga mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan beliau untuk memacu keutamaan strategik MAG dan memperkukuh kedudukan Kumpulan dalam landskap penerbangan global yang kompetitif,” katanya. - DagangNews.com