MAG perkenal penambahbaikan digital tingkatkan pengalaman perjalanan pelanggan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAG perkenal penambahbaikan digital tingkatkan pengalaman perjalanan pelanggan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov – Malaysia Aviation Group (MAG) memperkukuh transformasi digitalnya dengan pelbagai penambahbaikan pada platform penerbangan dan program kesetiaan pelanggan yang membolehkan penumpang menikmati perjalanan lebih cepat dan mudah digunakan secara digital.

 

Sejak awal 2025, MAG telah melaksanakan inovasi digital yang meningkatkan ekosistem perjalanan dari tempahan hingga daftar masuk, menjadikan prosesnya lebih efisien dan mudah.

 

Antara penambahbaikan utama ialah ciri TravelReady Malaysia Airlines, yang menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia Tenggara membolehkan penumpang memuat naik dan mengesahkan pasport serta visa secara digital sebelum tiba di lapangan terbang. 

 

Selain itu, MAG berkata, ciri Express Booking memudahkan pelanggan membuat tempahan penerbangan melalui satu klik, manakala integrasi Apple Pay menawarkan kaedah pembayaran selamat melalui laman web dan aplikasi mudah alih.

 

“Pelanggan juga kini menerima pemberitahuan masa nyata mengenai perubahan pintu pelepasan, status penerbangan dan maklumat bagasi melalui aplikasi mudah alih Malaysia Airlines.

 

“Chatbot rasmi MAG, Mavis memberikan jawapan segera mengenai keistimewaan Enrich, tawaran dalam penerbangan, pertanyaan umum dan boleh memindahkan kes kepada ejen serta menyediakan kemas kini penerbangan 24 jam, termasuk hujung minggu dan cuti umum,” kata MAG dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ahli Enrich juga kini boleh menebus penerbangan oneworld melalui laman web Malaysia Airlines dan menggunakan ciri Carrier Connect untuk daftar masuk dalam talian bagi penerbangan oneworld, seterusnya meningkatkan pengalaman digital yang bersambung di seluruh rangkaian.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Digital & IT MAG, Clarence Lee berkata, transformasi digital menjadi teras strategi MAG untuk menyediakan pengalaman perjalanan moden dan lancar. 

 

Beliau berkata, MAG melabur dalam teknologi untuk mempermudah setiap titik sentuh dari tempahan hingga selepas perjalanan, meningkatkan keselesaan, penggunaan peribadi yang memuaskan dan kecekapan operasi.

 

“Selain itu, syarikat juga memperkukuh sistem digital dalaman termasuk penggunaan alat teknologi canggih, pendekatan kerja tangkas dan proses yang dipermudahkan untuk memastikan operasi lebih cekap dan fleksibel.

 

“Sebagai sebahagian daripada usaha ini, MAG membangunkan sistem Daftar Masuk Dalam Talian melalui Digital Services Platform (DSP) dan sedang beralih ke enjin tempahan internet sendiri. 

 

“Langkah ini membolehkan syarikat mengawal proses tempahan, menambah ciri baharu dan meningkatkan pengalaman digital pelanggan secara menyeluruh,” katanya.

 

MAG juga diiktiraf sebagai peneraju digital dalam industri penerbangan apabila Pejabat Teknologi Digital MAG menerima Anugerah Organisasi Transformasi Digital Cemerlang ASOCIO 2025 di Taipei baru-baru ini. - DagangNews.com