KUALA LUMPUR 2 April - Malaysia Aviation Group (MAG) meneruskan momentum positif apabila mencatat keuntungan bagi tahun keempat berturut-turut pada 2025, dipacu permintaan perjalanan yang kekal kukuh serta pengembangan rangkaian yang berterusan.
Syarikat induk Malaysia Airlines itu merekodkan peningkatan hasil sebanyak enam peratus tahun ke tahun kepada RM14.5 bilion, manakala keuntungan bersih melonjak lebih dua kali ganda kepada RM137 juta berbanding RM54 juta pada tahun sebelumnya.
Prestasi lebih baik itu mencerminkan kecekapan operasi yang dipertingkat serta faktor muatan yang lebih kukuh merentasi rangkaian domestik dan antarabangsa kumpulan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, syarikat memasuki 2025 dengan fokus jelas untuk melaksanakan pelan perniagaan jangka panjang secara berdisiplin.
“Pendekatan ini telah menghasilkan operasi yang lebih stabil, jadual penerbangan yang lebih boleh dipercayai serta meningkatkan keupayaan organisasi untuk bertindak balas dengan pantas terhadap perubahan pasaran.
“Selepas penstrukturan semula kewangan yang berjaya, kami kini berada pada kedudukan lebih kukuh untuk mengharungi ketidaktentuan dan merebut peluang pertumbuhan,” katanya pada taklimat prestasi tahunan MAG 2025 hari ini.
Bagi tahun kewangan 2025, MAG mencatatkan EBITDA sebanyak RM1.6 bilion, meningkat daripada RM788 juta pada 2024, disokong oleh pengukuhan ringgit, harga bahan api yang lebih rendah serta peningkatan kapasiti di pasaran utama.
Dari segi operasi, kapasiti kumpulan yang diukur melalui available seat kilometres (ASK) meningkat 16 peratus, manakala jumlah penumpang bertambah 12 peratus kepada 18.6 juta dengan faktor muatan 81 peratus.
Namun begitu, baki tunai MAG susut kepada RM1.53 bilion berbanding RM3 bilion pada tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Kewangan, Boo Hui Yee menjelaskan, penurunan itu berpunca daripada pembayaran sekitar RM2.5 bilion bagi kos baik pulih enjin pesawat Boeing B737 serta perbelanjaan operasi lain.
Menurut beliau, daripada suntikan modal RM3.6 bilion oleh Khazanah Nasional Bhd pada 2021, sebanyak RM1.77 bilion masih berbaki setakat akhir 2025.
“Kami mengurus aliran tunai secara berhemat dan keutamaan diberikan kepada penjanaan aliran tunai operasi bagi membiayai keperluan perniagaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, MAG menerima sebanyak 24 pesawat baharu sepanjang 2025, melibatkan model B737 dan Airbus A330neo.
Syarikat itu turut menjangkakan penghantaran 10 lagi pesawat pada 2026 tanpa sebarang kelewatan, selaras dengan jadual pengeluar.
Selain itu, program penggantian pesawat badan lebar masih berjalan mengikut perancangan, dengan pengumuman tempahan baharu dijangka dibuat tahun ini. - DagangNews.com








