Luxchem beli lima bidang tanah di Klang berharga RM46 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Luxchem beli lima bidang tanah di Klang berharga RM46 juta

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 15 Julai – Luxchem Corporation Bhd memeterai perjanjian membeli lima bidang tanah pajakan berkeluasan 40,340 meter persegi di Klang, Selangor pada harga RM45.59 juta.

 

Menurut makluman di Bursa Malaysia, pembelian tersebut melibatkan dua pihak penjual iaitu Leisure Harvest Sdn Bhd dan Excellent Delight Sdn Bhd.

 

“Cadangan pengambilalihan ini adalah selari dengan strategi pengembangan perniagaan kumpulan serta rangka kerja peruntukan modal yang berdisiplin.

 

"Ia merupakan inisiatif strategik untuk mempelbagaikan asas aset kumpulan sambil mengoptimumkan penggunaan lebihan tunai sedia ada,” kata Luxchem.

 

 

Luxchem Corporation Bhd

 

 

Berbanding menyimpan dana berlebihan dalam deposit tetap yang memberi pulangan rendah, pelaburan dalam aset hartanah dijangka menawarkan potensi pulangan jangka panjang yang lebih tinggi menerusi peningkatan nilai, prospek pembangunan masa depan dan pendapatan sewaan segera.

 

Tanah-tanah tersebut turut disertakan dengan perjanjian penyewaan selama sembilan tahun yang akan menjana pendapatan sewaan tahunan sebanyak RM2.3 juta, dengan opsyen kenaikan 10% setiap tiga tahun.

 

“Aset yang menjana pendapatan ini dijangka dapat meningkatkan ketelusan aliran tunai serta menyokong asas pendapatan kumpulan dalam tempoh sederhana,” jelas Luxchem. - DagangNews.com