Kuala Lumpur 17 Nov – Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital) telah menerima surat daripada Seriemas Resort Sdn Bhd (SRSB) yang mengesahkan persetujuan secara prinsip bagi cadangan kerjasama melaksanakan Projek Rejuvenasi Morib di Selangor.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, LSH Capital berkata persetujuan itu melibatkan tiga perjanjian dengan Seriemas Development Sdn Bhd (SDSB), Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) dan SRSB.
Perjanjian tersebut merangkumi cadangan pajakan 60 tahun ke atas kira-kira 139 ekar tanah padang golf, pajakan 30 tahun dengan pilihan lanjutan 30 tahun bagi pembinaan bangunan kelab dan apartmen hotel baharu di atas tanah berdepan pantai seluas lima ekar, serta hak pembangunan ke atas kira-kira 150 ekar tanah berserta hak penolakan pertama selama 12 tahun bagi tambahan 303 ekar tanah lagi.
LSH Capital berkata surat itu diterima pada 17 November, menandakan hasrat syarikat untuk memuktamadkan terma terperinci sebelum memasuki perjanjian muktamad.
Projek berkenaan dicadangkan bersama oleh LSH Best Builders Sdn Bhd (LSHBB), anak syarikat milik penuh LSH Capital, dan rakan usahasama Besteel Engtech Sdn Bhd (BESB).
Kedua-dua pihak telah mengemukakan cadangan mereka sebagai maklum balas kepada permintaan cadangan (RFP) SRSB pada Julai 2024.
Usaha sama itu akan dijalankan melalui sebuah syarikat tujuan khas (SPV), dengan LSHBB memegang 70% kepentingan dan BESB 30%, manakala LSHBB bertindak sebagai peneraju projek.
LSH Capital menjelaskan pembentukan SPV tersebut dianggap sebagai urus niaga pihak berkaitan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia, kerana pemegang saham utama BESB, Datuk Lim Keng Guan, turut merupakan pengarah dan pemegang saham utama LSH Capital.
Semua pihak berkepentingan telah berkecuali daripada sebarang perbincangan dan pengundian berkaitan keputusan ini. - DagangNews.com








