Low Yat lancar Armanee @ Bandar Tasik Puteri bernilai RM212 juta perkukuh pasaran kediaman di Rawang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Low Yat lancar Armanee @ Bandar Tasik Puteri bernilai RM212 juta perkukuh pasaran kediaman di Rawang

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 NovKumpulan Low Yat melancarkan projek kediaman terbaharu, Armanee @ Bandar Tasik Puteri (BTP) di Rawang, Selangor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM212 juta.


Usaha itu mengukuh portfolio pembangunan mesra keluarga meliputi 258 unit rumah teres dua tingkat, dengan harga bermula RM690,000, manakala keluasan binaan antara 168 hingga 209 meter persegi.


Fasa pertama pembangunan kawasan berpagar dan berpengawal itu meliputi 5.1 hektar melibatkan 140 unit, yang dijangka siap dalam tempoh 36 bulan, serta dilengkapi pelbagai kemudahan serba moden.


Ini termasuk kelab komuniti, taman permainan, laluan joging, kolam renang, gelanggang pickleball dan bola keranjang, serta kemudahan kecergasan bagi menggalakkan gaya hidup aktif seisi keluarga.


Menurut Pengurus Besar Hartanah Kawasan, Pembangunan dan Pengurusan Rawang Lakes, Andrew Goh, pelancaran Armanee mencerminkan kekuatan dua dekad Low Yatt memajukan koridor utara Lembah Klang.


“Kami melihat permintaan berterusan terhadap rumah bertanah dirancang baik di Rawang, khususnya pembeli rumah pertama dan yang mahu menaik taraf kediaman dengan harga mampu milik,” katanya.

 

Low Yat


Armanee direka dengan sentuhan praktikal berinspirasikan Skandinavia, berteraskan konsep komuniti mampan, seiring dengan aspirasi kerajaan membentuk yang bandar berdaya saing dan mesra keluarga.


Terletak dalam perbandaran BTP seluas 1,081 hektar yang kini dihuni lebih 100,000 penduduk, lokasi itu menawarkan pelbagai kemudahan termasuk Tasik Puteri Golf & Country Club dengan 27 lubang.


Selain itu, jelasnya, kawasan berkenaan turut dilengkapi Central Park seluas 13 hektar, institusi pendidikan, dan pusat komersial seperti Avenue 3 Shop Offices dan Paradise Fair Retail Hub.


Sempena pelancaran ini, Low Yat turut memperkenalkan kempen 'Live the Dream, Travel the World', dengan pembeli berpeluang untuk memenangi percutian ke Australia, Korea Selatan atau Vietnam.


“Matlamat kami ialah menyediakan kediaman berkualiti dan bernilai jangka panjang dalam komuniti mampan yang menggalakkan keluarga menikmati kehidupan seimbang serta harmoni,” tambah Goh.


BTP kini jelas beliau, dihubungkan dengan baik melalui rangkaian lebuh raya utama termasuk LATAR, Guthrie dan PLUS, menjadikannya antara lokasi kediaman paling pesat berkembang di Rawang sendiri.


Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh mengunjungi terus Galeri Jualan BTP di Rawang atau melayari laman web rasmi iaitu www.btp.com.my. - DagangNews.com