Loob bawa Tealive masuk pasaran India melalui kerjasama Devyani | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Loob bawa Tealive masuk pasaran India melalui kerjasama Devyani

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Feb — Loob Holding Sdn Bhd memeterai perjanjian francais induk dengan pengendali restoran perkhidmatan segera terkemuka di India, Devyani International Limited (DIL), untuk membawa Tealive memasuki pasaran India.
 

Jenama teh tempatan dengan gaya hidup terkemuka di rantau Asia Tenggara itu bakal menembusi salah sebuah pasaran pengguna terbesar di dunia selepas kejayaannya membuka premis di Emiriah Arab Bersatu pada Oktober tahun lepas.
 

DIL merupakan pemegang francais terbesar di India bagi Yum! Brands yang mengendalikan rangkaian jenama Kentucky Fried Chicken dan Pizza Hut serta pemegang francais eksklusif bagi kafe Costa Coffee di negara rantau Asia Selatan itu.
 

Selain itu, DIL juga memiliki jenama tempatan tersendiri termasuk Vaango yang merupakan destinasi makanan sayuran India Selatan terkemuka dan The Food Street, sebuah konsep medan selera yang menampilkan pelbagai jenis menu popular.
 

Pada ketika ini, DIL yang ditubuhkan sejak 1991 dengan pejabat korporatnya terletak di Gurugram, Haryana, berjaya mengendalikan sejumlah lebih 2,000 cawangan yang merentasi pelbagai jenama di seluruh India, Thailand, Nigeria dan Nepal.
 

Menerusi satu kenyataan, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob, Bryan Loo, meluahkan keyakinan beliau terhadap rangkaian luas dan kepakaran dimiliki DIL dalam menjadi potensi asas kukuh untuk Tealive berkembang pula di India.
 

“Bersama rakan kongsi kami ini, Tealive akan masuk ke tanah 'chai'. DIL ada pemahaman luas mengenai pasaran tempatan dan kami merancang membina jejak kukuh di India bermula dengan pembukaan cawangan di bandar-bandar utama tahun ini,” katanya.
 

Tealive dengan mempunyai lebih 950 cawangan di Asia Tenggara, Mauritius, Kanada dan terbaharu di rantau Timur Tengah, kini tambah beliau, bersedia untuk membawa gabungan produk unik teh dan budaya minuman inovatifnya ke India.
 

Negara tersebut ujarnya, menawarkan potensi pasaran besar bagi teh gaya hidup dalam kalangan orang muda. Justeru, penjenamaan kukuh Tealive dan daya tarikan Asia Tenggaranya menjadi kelebihan jenama tersebut yang strategik.
 

Walaupun jenama tempatan dan kedai individu mendominasi landskap teh di India, namun kata Bryan, menu yang pelbagai serta inovasi minuman Tealive dijangka mampu dalam memenuhi cita rasa dan selera pengguna yang semakin berkembang.
 

“Kerjasama dengan pengendali tempatan yang kukuh seperti DIL memberi kami keupayaan untuk menyesuaikan diri dan berkembang di India sambil memperkenalkan gaya hidup Tealive kepada jutaan pengguna baharu,” tambahnya.
 

Pengerusi Bukan Eksekutif di DIL, Ravi Jaipura pula berkata: “Kami berbesar hati untuk memperkenalkan Tealive, sebuah jenama Asia yang kukuh, ke India, sebuah negara yang terkenal dengan tradisi budaya chai yang kaya. 
 

"Pilihan teh gaya hidup Tealive yang pelbagai ini selaras dengan cita rasa golongan muda India yang semakin berkembang dan lebih tertarik kategori minuman baharu. Bersama-sama, kami bersedia mentakrif semula pengalaman teh di pasaran dinamik India.”
 

Sementara itu, Bryan menekankan bahawa Tealive akan meneruskan strategi serantau sedia ada dengan memulakan operasinya secara kecil-kecilan sebelum berkembang pesat dalam keadaan pasaran yang bersesuaian. 
 

“Disebabkan pengetahuan tempatan, pengalaman industri dan rangkaian luas rakan kongsi, kami berada di kedudukan terbaik untuk berkembang cepat dan mempromosikan budaya teh gaya hidup unik kami di seluruh dunia,” katanya. - DagangNews.com