Lonjakan kos bahan api global dijangka tidak jejaskan prestasi pendapatan TNB, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lonjakan kos bahan api global dijangka tidak jejaskan prestasi pendapatan TNB, kata HLIB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Mac — Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka tidak berdepan gangguan ketara terhadap pendapatannya susulan lonjakan kos bahan api global, kerana syarikat utiliti itu masih dilindungi oleh kerangka pelarasan tarif tenaga di Malaysia, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata pihaknya tidak terlalu bimbang dengan peningkatan harga tenaga walaupun harga arang batu, gas dan minyak mentah melonjak susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat.

 

Menurut HLIB lagi konflik yang melibatkan Iran telah menyebabkan harga minyak mentah global meningkat kepada sekitar AS$110 setong tahun ini berbanding kira-kira AS$60 sebelum ini.

 

Pada masa sama, harga gas di Eropah turut meningkat kepada kira-kira €55 bagi setiap megawatt jam (MWh) berbanding sekitar €30/MWh sebelum ini.

 

Bagaimanapun, HLIB menjelaskan bahawa TNB masih dilindungi kerana kos bahan api sebenar tidak serta-merta dimasukkan ke dalam kos operasi syarikat.

 

“Kami difahamkan bahawa biasanya terdapat kesan kelewatan dalam pemindahan kos tenaga sebenar,” kata firma penyelidikan itu.

 

Menurutnya, perolehan arang batu melibatkan perbezaan masa penghantaran serta penampan inventori sehingga dua bulan sebelum harga yang lebih tinggi memberi kesan kepada operasi loji jana kuasa.

 

Kesan kelewatan harga yang sama turut terpakai kepada bekalan gas.

 

HLIB berkata harga gas domestik yang dibekalkan oleh PETRONAS ditentukan berdasarkan purata harga bagi tempoh dua hingga empat bulan sebelumnya, sekali gus bermakna lonjakan harga pasaran semasa tidak serta-merta ditanggung oleh TNB.

 

“Sehubungan itu, kami tidak menjangkakan lonjakan kos bahan api dalam tempoh terdekat bagi TNB,” katanya.

 

Selain itu, satu lagi faktor penampan utama ialah mekanisme Automated Fuel Adjustment (AFA) yang diperkenalkan di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (2025–2027), yang menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through sebelum ini.

 

Tidak seperti kitaran semakan setiap enam bulan sebelum ini, AFA membolehkan pelarasan tarif dibuat setiap bulan, sekali gus mempercepatkan pemulihan kos bahan api yang berubah-ubah.

 

“Pengenalan AFA membolehkan pelarasan tarif dibuat dengan lebih tepat pada masanya, sekali gus membantu TNB mengurus aliran tunai dengan lebih baik ketika harga tenaga global tidak menentu,” katanya.

 

HLIB berkata mekanisme tersebut turut membantu mengurangkan kesan kewangan kepada syarikat utiliti itu sekiranya berlaku lonjakan kos bahan api secara mendadak.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan berkenaan menjangkakan keuntungan bersih teras TNB meningkat daripada RM4.04 bilion bagi tahun kewangan 2025 kepada RM4.66 bilion pada 2026 dan RM4.86 bilion pada 2027.

 

Pertumbuhan itu dijangka disokong oleh asas aset terkawal yang lebih besar, pemulihan perbelanjaan modal bersyarat, pengembangan tenaga boleh diperbaharui serta kadar cukai efektif yang lebih rendah.

 

HLIB mengekalkan saranan “BELI” terhadap saham TNB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM17.25, sambil menyatakan syarikat utiliti itu berada pada kedudukan kukuh untuk mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan serta kejelasan kerangka kawal selia sektor tenaga negara. - DagangNews.com