Loji solar terapung Batang Ai dijadual beroperasi Disember 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Loji solar terapung Batang Ai dijadual beroperasi Disember 2025

Loji solar terapung 50 megawatt (MW) di Empangan Batang Ai - Gambar Sarawak Energy Berhad
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Loji solar terapung 50 megawatt (MW) di Empangan Batang Ai, yang merupakan loji solar terapung pertama di Sarawak, dijadual memulakan operasi pada Disember ini.

 

Projek ini yang pembinaannya bermula pada 20 Jun 2023, merupakan hasil usaha sama antara Sarawak Energy, China Power International Holdings, dan Trina Solar.

 

Dengan kapasiti 50 MW, loji solar terapung ini akan menjadi loji solar terapung terbesar di Malaysia, menyepadukan tenaga hidro dan solar dalam satu sistem. Projek ini juga dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 52,000 tan setahun.

 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, fasiliti tersebut hanya meliputi 3% daripada keluasan permukaan empangan, meninggalkan ruang untuk potensi pengembangan ke empangan hidroelektrik lain seperti Murum dan Bakun.

 

“Inisiatif ini akan menarik pelabur asing dan membantu Sarawak mencapai visi menjadi negeri berpendapatan tinggi pada masa depan,” katanya ketika merasmikan edisi ke-10 Program Roadshow Project Of Dream Realized (PRO-DR) 2025 di Dewan Pembangunan Sebuyau pada Isnin.

 

Julaihi, yang juga ADUN Sebuyau, berkata pembangunan ini mencerminkan bagaimana teknologi dan inovasi, digabungkan dengan sumber semula jadi Sarawak, boleh memacu pertumbuhan ekonomi.

 

“Selain itu, ini juga membuktikan bahawa Sarawak berada di landasan yang betul untuk menjadi hab tenaga hijau di rantau ini dan menyumbang kepada aspirasi Malaysia untuk menjadi ‘Bateri ASEAN’,” katanya.

 

Pendidikan

Julaihi turut menekankan bahawa perkembangan pesat China hari ini dicapai melalui pelaburan jangka panjang dalam pendidikan, terutamanya dalam bidang STEM dan pembelajaran digital.

 

“Pendekatan progresif mereka dalam pendidikan telah membolehkan kemajuan merentas industri. Begitu juga, tidak mustahil Sarawak mencapai kemajuan pesat dengan generasi muda yang memiliki pengetahuan STEM dan digital,” tegas beliau.

 

Inovasi digital, tambahnya, memainkan peranan penting dalam memudahkan kehidupan seharian rakyat.

 

Program PRO-DR dianjurkan bersama oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (Tegas), Jabatan Pendidikan Sarawak dan pelbagai institusi pengajian tinggi. - DagangNews.com