KUALA LUMPUR 13 Mac — Lim Seong Hai Capital Berhad berpotensi catat pertumbuhan pendapatan yang kukuh berikutan pemindahan penyenaraian syarikat itu ke Pasaran ACE daripada Pasaran LEAP di Bursa Malaysia, kata Rakuten Trade Sdn Bhd.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan syarikat berkenaan mampu mencatatkan pendapatan bersih teras sebanyak RM77.8 juta dan RM85.3 juta untuk masing-masing tahun kewangan 2025 (FY25) dan berikutnya pada FY26.
Syarikat itu dijadualkan untuk penyenaraian pada 21 Mac 2025 dan langkah tersebut dijangka memastikan kestabilan kewangan serta pertumbuhan jangka panjang selepas penyenaraian.
"Secara keseluruhan, kami memihak kepada Lim Seong Hai untuk buku pesanan tertunggak yang kukuh dan margin keuntungan selepas cukai, aliran hasil yang pelbagai dan kunci kira-kira yang teguh dengan kedudukan tunai bersih," katanya dalam satu nota kajian.
Lim Seong Hai merupakan syarikat pembinaan sepenuhnya yang menawarkan perkhidmatan pembinaan, kejuruteraan dan yang berkaitan, bersama-sama dengan produk pembinaan pelengkap dan aktiviti pembangunan hartanah.
Untuk memacu pertumbuhan, sebanyak 93.7 peratus daripada hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) akan diperuntukkan sebagai modal kerja, terutamanya untuk membiayai projek berkaitan hartanah dan infrastruktur serta kontrak masa depannya.
Ia merangkumi perkhidmatan subkontraktor, bahan, upah dan bon prestasi manakala perkembangan utama projek syarikat itu pada masa ini ialah LSH Segar, Sentul Ria, dan Lake Side Homes.
Pengambilalihan Astana Setia Sdn Bhd dan Lim Seong Hai Ventures Sdn Bhd pada April 2023 telah mengukuhkan aliran hasil, menyumbang 20 peratus daripada jumlah pendapatan FY24.
"Pembahagian hartanah kumpulan melalui LSH Segar dan Lake Side Homes, akan menjana pendapatan sehingga FYE30 dan mengukuhkan kedudukan Lim Seong Hai dalam sektor hartanah," kata Rakuten.
Kumpulan itu memperoleh kontrak selama tempoh tiga tahun di bawah projek transformasi 'Sungai Nadi Kehidupan' dan terus berkembang melalui pelan rangka kerja kolaborasi terbaik.
Firma penyelidikan itu berkata, Lim Seong Hai mempunyai buku pesanan tertunggak kukuh berjumlah RM1.52 bilion merangkumi 16 projek yang sedang dijalankan, dengan hasil dijangka diiktiraf secara progresif sehingga FY30.
"Melalui langkah penjimatan kos, kami percaya Lim Seong Hai mampu mencapai pertumbuhan dua angka pada masa hadapan," tambahnya.
Firma itu memberi saranan 'Beli' ke atas saham syarikat berkenaan dengan nilai saksama iaitu RM1.12. - DagangNews.com








