KUALA LUMPUR 21 Jan — LFE Corporation Berhad menarik diri daripada cadangan subkontrak kerja elektrik bernilai RM11.5 juta yang diraih daripada anak syarikat Sunway Construction Group Berhad.
Menurut kumpulan tersebut, langkah berkenaan diambil selepas kedua-dua pihak gagal memuktamadkan terma Surat Niat (LOI) dikeluarkan kepada anak syarikat milik penuhnya, LFE Engineering Sdn Bhd.
Sehubungan itu tambahnya, tender berkenaan dianggap sebagai sudah terhenti dan tidak lagi berkuat kuasa, susulan kegagalan mereka untuk mencapai persetujuan mengenai terma kontrak rasmi tersebut.
“Justeru, kedua-dua pihak tidak akan meneruskan perkara berkenaan,” maklum LFE kepada Bursa Malaysia sebagai merujuk pengumuman sebelum ini mengenai tender itu pada 31 Disember 2025.
Artikel berkaitan: LFE raih subkontrak RM11.5 juta bagi kerja elektrik pusat data
Ia melibatkan kerja-kerja elektrik bagi projek pusat data dan bangunan pejabat di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, dengan Sunway Construction Sdn Bhd bertindak sebagai kontraktor utama.
Jelas kumpulan tersebut, skop kerja yang dicadangkan merangkumi pembekalan, penghantaran, pemasangan, ujian, pentauliahan dan penyelenggaraan perkhidmatan elektrik secara kontrak pukal.
Tempoh pelaksanaan kerja berkenaan ditetapkan selama lapan bulan yang sepatutya sudah bermula pada 30 Disember 2025 dan dijangka perlu disiapkan anak syarikat LFE itu menjelang 11 Ogos 2026.
Saham kumpulan itu tidak diniagakan pada 20 Januari 2026, namun kali terakhir ia ditutup kepada 17.5 sen, memberikan syarikat itu permodalan pasaran kira-kira RM203.7 juta. - DagangNews.com








