LFE Corp raih empat kontrak bernilai RM70.85 juta di Cyberjaya dan Ara Damansara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LFE Corp raih empat kontrak bernilai RM70.85 juta di Cyberjaya dan Ara Damansara

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR, 1 Julai - LFE Corp Bhd berjaya meraih empat kontrak baharu bernilai keseluruhan RM70.85 juta, merangkumi kerja-kerja pembinaan dan pembekalan bahan binaan bagi dua projek pembangunan di Selangor.

 

Syarikat itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, LFE Engineering Sdn Bhd dan LFE Innovative Sdn Bhd telah menerima surat lantikan daripada Puncak Concept Sdn Bhd dan SD Ara Damansara Development Sdn Bhd untuk kerja pembinaan projek tersebut.

 

"Kontrak pertama bernilai RM30.49 juta telah dianugerahkan kepada LFE Engineering Sdn Bhd, oleh SD Ara Damansara Development untuk kerja-kerja ubah suai, penambakan asas serta pengukuhan struktur bagi projek pembangunan Oasis Ara di Ara Damansara.

 

"Kerja pembinaan projek tersebut dijadualkan siap sepenuhnya menjelang 29 Mac 2027," kata LFE.

 

Dalam pada itu, LFE Innovative Sdn Bhd pula menerima kontrak bernilai RM32.46 juta daripada SD Ara Damansara Development bagi pembekalan bahan binaan bagi projek yang sama. 

 

Skop kerja meliputi reka bentuk dan pembinaan penambakan asas serta pengukuhan struktur, selain kerja-kerja perobohan dan pembinaan semula cerun laluan.

 

Kontrak Tambahan di Cyberjaya Perkukuh Buku Tempahan

 

Selain daripada projek Oasis Ara, LFE Corp turut meraih dua lagi kontrak daripada Puncak Concept Sdn Bhd untuk pembangunan di Persiaran Sepang, Cyber 10, Cyberjaya.

 

LFE Engineering dianugerahkan kontrak bernilai RM3.07 juta untuk kerja-kerja tanah dan pembinaan tembok penahan, termasuk pemasangan cerucuk konkrit pratuang. 

 

Tempoh kontrak adalah selama sembilan yang dijangka siap sepenuhnya pada 29 Mac 2026.

 

Selain itu, LFE Innovative juga menerima kontrak berjumlah RM4.82 juta daripada pemaju sama bagi pembekalan bahan binaan untuk skop kerja yang serupa.

 

Kesemua kontrak tersebut dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan berulang (RRPT) kerana Pengerusi Eksekutif LFE dan pemegang saham utama, Chuah Chong Ewe juga adalah pengarah dan pemegang saham SD Ara Damansara Development dan Puncak Concept.

 

Kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan sehingga semua kontrak tamat mengikut perjanjian. - DagangNews.com