KUALA LUMPUR 1 Julai – Petronas Gas Bhd (PGB) menegaskan komitmen terhadap ketelusan sepenuhnya, penambahbaikan berterusan, kebajikan mangsa terjejas serta kerjasama erat dengan pihak berkuasa susulan insiden paip gas meletup di Putra Heights pada 1 April lalu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendedahkan hasil siasatannya semalam bahawa letupan tersebut berpunca daripada ketidakstabilan tanah di kawasan berkenaan.
Menurut PGB, pelbagai usaha telah digerakkan bagi memastikan keselamatan awam, memberi sokongan kepada komuniti yang terjejas serta memastikan kelangsungan bekalan gas ke seluruh negara tidak terjejas.
ARTIKEL BERKAITAN: Letupan Putra Heights: Tanah lembik punca paip gas meletup, tiada kecuaian – Laporan Siasatan JKKP
“Insiden ini merupakan kejadian pertama seumpamanya dalam sejarah sistem penghantaran gas kami.
"Kami amat memahami kebimbangan masyarakat berhubung aspek keselamatan sistem paip gas, terutamanya dengan aliran gas yang masih berterusan dalam rangkaian tersebut,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Jelas PGB lagi, sistem Peninsular Gas Utilisation (PGU) direka bentuk dengan pelbagai lapisan keselamatan dan daya tahan, hasil lebih tiga dekad pengalaman kejuruteraan dan operasi syarikat.
“Sistem kami dan warga kerja sentiasa beroperasi tanpa henti bagi memastikan penghantaran gas yang selamat dan boleh dipercayai ke rumah-rumah, sektor perindustrian serta sektor penjanaan kuasa negara,” tambahnya. - DagangNews.com








