HULU TERENGGANU 20 Julai – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukkan sebanyak RM48.36 juta bagi melaksanakan 28 program dan projek pembangunan sepanjang tahun ini, termasuk enam projek di Tasik Kenyir bernilai RM14.43 juta.
Enam projek di Tasik Kenyir melibatkan naik taraf Kompleks Santuari Kelah Sungai Petang, pembangunan semula kemudahan pelancongan di Pulau Petang dan Taman Herba, pembinaan Taman Mini Awam di Gawi Point, pembaikan cerun kawasan tarikan pelancongan serta pembangunan Jeti Tasik Kenyir.
Peruntukan yang disalurkan bertujuan memperkukuh infrastruktur pelancongan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi wilayah terutama di pusat pelancongan tersebut.
Daripada enam projek berkenaan, projek pembangunan Jeti Tambatan Bot Pengkalan Utama di Tasik Kenyir yang menelan kos RM8.7 juta menjadi antara inisiatif utama apabila berjaya disiapkan bagi menyediakan kemudahan lebih moden, selamat dan tersusun kepada pengusaha bot laju serta rumah bot.
Pengerusi KETENGAH, Datuk Rozi Mamat berkata, pembangunan itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan menerusi KETENGAH di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperkukuh agenda pembangunan pelancongan di Tasik Kenyir yang mempunyai potensi besar sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa.
Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan kerja-kerja pengukuhan tebing, pembinaan tambatan rumah bot, tandas serta kemudahan berkaitan yang bukan sahaja menyediakan kemudahan lebih teratur, malah meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan kecekapan operasi pengusaha bot.
“Dengan siapnya projek ini, isu penempatan bot yang tidak tersusun di sekitar Pengkalan Utama dapat diatasi secara berperingkat dan mewujudkan sistem pengurusan bot yang lebih sistematik dan meningkatkan imej Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan.
“KETENGAH akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan kementerian, agensi kerajaan, pihak swasta, persatuan pelancongan dan komuniti setempat bagi memperhebat usaha mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi ekopelancongan utama negara,” katanya.
Tambahnya, kejayaan sesuatu pembangunan bukan hanya diukur melalui siapnya sesebuah projek, sebaliknya bergantung kepada bagaimana kemudahan yang disediakan dimanfaatkan dan dipelihara oleh semua pihak, khususnya pengusaha bot serta houseboat yang menjadi rakan strategik KETENGAH dalam membangunkan industri pelancongan Tasik Kenyir.
Rozi berkata, dengan adanya jeti baharu dan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan serta promosi pelancongan secara berterusan, Tasik Kenyir diyakini akan terus berkembang sebagai destinasi ekopelancongan utama negara yang mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi wilayah serta memberi limpahan manfaat kepada masyarakat setempat.
Sementara itu, Pengurus Besar KETENGAH, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, pembangunan Jeti Tambatan Bot Pengkalan Utama merupakan satu lagi bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pelancongan di Tasik Kenyir bagi memastikan kemudahan yang disediakan memenuhi keperluan industri.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan yang moden, selamat dan terancang amat penting bagi memastikan pengalaman pelancong sentiasa berada pada tahap terbaik selain meningkatkan daya saing Tasik Kenyir sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa.
“Selain pembangunan fizikal, KETENGAH turut menyusun pelbagai program bagi meningkatkan lagi tarikan Tasik Kenyir, termasuk Kenyir Nature Run 2026, Kenyir Scout Fox Hunting Competition, Kenyir Open Water Swimathon serta International Monsoon Casting Tournament yang akan berlangsung sepanjang separuh kedua tahun ini.
“Penganjuran program tersebut diyakini mampu memperkukuh promosi Tasik Kenyir sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa, menarik lebih ramai pelancong domestik dan asing, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta meningkatkan pendapatan pengusaha pelancongan dan komuniti,” katanya. - DagangNews.com








