Lebihan dagangan semakin kecil jejaskan eksport dalam masa terdekat, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebihan dagangan semakin kecil jejaskan eksport dalam masa terdekat, kata TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 25 MacSektor luaran Malaysia berdepan risiko baharu apabila pengukuhan ringgit, kelemahan permintaan dan ketidaktentuan perdagangan global dijangka mengekang momentum eksport.


Menurut TA Securities, meskipun prestasi kekal kukuh pada awal 2026, beberapa petunjuk menunjukkan tekanan mula muncul, termasuk penyusutan lebihan dagangan dan pertumbuhan eksport semakin kecil.


Jelasnya, jumlah perdagangan Malaysia meningkat 9.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM245.2 bilion pada bulan lalu, namun mencatatkan penurunan 9.8% bulan ke bulan (MoM) akibat faktor bermusim.


"Antaranya jumlah hari bekerja pendek dan cuti Tahun Baharu Cina, dengan eksport berkembang 10.8% YoY kepada RM130.95 bilion, yang lebih perlahan berbanding 19.6% sebelum ini," katanya dalam nota.


Pasaran Amerika Syarikat (AS) tambah TA Securities, kekal sebagai destinasi utama dengan lonjakan 42.3%, diikuti China yang meningkat 13.2%, manakala eksport ke Singapura pula merosot 17.1%.


Mengikut sektor, barangan pembuatan terus mencatat pertumbuhan 12.8%, diikuti perlombongan yang naik 12.3%, tetapi, eksport pertanian merosot ketara 16.4%, dan mengehadkan prestasi keseluruhan.


Import pula jelas firma tersebut, meningkat 8.2% YoY kepada RM114.2 bilion, dipacu isu permintaan kukuh terhadap barangan modal yang melonjak 15.4%, mencerminkan aktiviti pelaburan berterusan.


"Import dari China dan Taiwan masing-masing menokok 27.3% dan 36.4%, namun secara keseluruhannya, lebihan dagangan mengecil 23.9% bulan ke bulan (MoM) kepada RM16.71 bilion," kata TA Securities.

 

dagangan Malaysia


Bagi tempoh dua bulan pertama 2026, eksport berkembang 15.2% kepada RM277.78 bilion, manakala import naik 6.4% kepada RM239.11 bilion, menghasilkan lebihan dagangan terkumpul RM38.67 bilion.


Prestasi tersebut kata firma itu, memberikan tanda permulaan baik kepada tempoh suku pertama 2026, dengan sektor luaran terus menyokong pertumbuhan ekonomi, didorong lebihan dagangan yang kukuh.


TA Securities meramalkan dengan lebihan dagangan bagi suku keempat 2025 mencecah RM48.57 bilion, sasaran untuk mencapai prestasi hampir sama pada suku pertama 2026 dilihat masih lagi realistik.


"Bagaimanapun kami memberi amaran kelemahan berterusan eksport barangan perantaraan mencerminkan permintaan huluan global yang masih rapuh, dan berpotensi menjejaskan momentum eksport," tegasnya.


Selain itu tambah firma penyelidikan berkenaan, pengukuhan nilai ringgit kepada RM3.93 berbanding dolar AS turut dilihat boleh mengurangkan daya saing eksport negara dalam tempoh yang terdekat.


Sehubungan itu, TA Securities mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport kira-kira 4.6% bagi 2026, manakala import dijangka berkembang 6.2%, disokong permintaan domestik dan pemulihan pelaburan.


Lebihan dagangan namun diunjurkan kekal kukuh sekitar RM135 bilion, sekali gus diramal terus menjadi penyokong utama pertumbuhan makroekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.


"Prospek tersebut bagaimanapun masih terdedah kepada risiko penurunan termasuk faktor pengukuhan lanjut ringgit, dan kelemahan secara berterusan terhadap barangan perantaraan," kata firma itu.


Selain itu jelas TA Securities, kemungkinan peningkatan tarif perdagangan AS serta ketegangan geopolitik global boleh mencetuskan ketidaktentuan dalam aliran perdagangan dunia. - DagangNews.com