Lebihan bekalan sarung tangan dikhuatiri jejaskan pemulihan sektor sarung tangan - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebihan bekalan sarung tangan dikhuatiri jejaskan pemulihan sektor sarung tangan - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Jun — Syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat dalam sektor sarung tangan ketika ini didapati kekal di bawah tekanan berikutan lebihan bekalan secara berterusan, kata Public Investment Bank Berhad (PublicInvest).


Firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan itu disebabkan oleh aktiviti pengeluaran hadapan secara besar-besaran yang lebih awal untuk pelanggan Amerika Syarikat (AS) susulan kebimbangan pelaksanaan tarif negara berkenaan.


Sektor sarung tangan Malaysia juga katanya, tertekan teruk kerana faktor sentimen pelanggan mereka yang semakin lebih berhati-hati, dan persaingan harga terlalu sengit sehingga menjejaskan prospek pemulihan masa akan datang.


"Keputusan suku tahunan terkini daripada beberapa pengeluar yang di bawah liputan kami mencerminkan penurunan berturut-turut jualan, terutama disebabkan aktiviti pemuatan hadapan awal pasaran AS," katanya dalam nota kajian.


PublicInvest turut mendapati, pelanggan produk kekal berhati-hati, dengan kebanyakannya mengamalkan sikap tunggu dan lihat, serta menundakan pembelian yang besar ekoran isu ketidaktentuan daripada perubahan dalam dasar tarif.


Ia melihat berlaku penurunan enam peratus dalam pengeluaran lateks asli, manakala harga nitril butadiena pula turun sebanyak 22 peratus antara April hingga Mei 2025 berbanding sepanjang tempoh Januari hingga Mac 2025.


"Kami menjangkakan harga bahan mentah secara keseluruhan akan kembali stabil dalam enam bulan terakhir 2025 selain kesan daripada tukaran dolar AS yang lemah berbanding ringgit kepada paras RM4.30 pada Mei 2025," katanya.


Memandangkan unjuran permintaan lemah dalam jangka masa terdekat, firma itu menurunkan saranan untuk sektor berkenaan kepada 'neutral' berbanding 'overweight' dengan saham pilihan ialah Kossan Rubber Industries Berhad.


Kumpulan itu kata PublicInvest, masih memiliki prospek positif berikutan pelaksanaan operasi kukuh, margin berdaya tahan dan kedudukan tunai bersih bernilai RM1.6 bilion yang menawarkan sokongan teguh. - DagangNews.com