KUALA LUMPUR 13 Mac — Lebih 2,200 pengarah syarikat disekat daripada meninggalkan Malaysia sepanjang 2025 kerana gagal menjelaskan caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
KWSP dalam satu kenyataan berkata secara keseluruhan 14,332 pengarah syarikat telah dikenakan sekatan perjalanan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991 setakat Disember 2025.
Menurut dana persaraan itu, pihaknya turut memfailkan 3,530 saman sivil serta memulakan 6,011 tindakan jenayah terhadap pengarah dan majikan yang mengabaikan kewajipan statutori mereka sepanjang tahun lalu.
Pada masa sama, KWSP berjaya menyelesaikan 8,868 kes tunggakan caruman daripada 21,029 aduan pekerja, manakala lebih 12,000 kes lagi masih dalam siasatan.
Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin menegaskan bahawa majikan diwajibkan oleh undang-undang untuk membayar caruman KWSP dan memberi amaran bahawa tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan.
“Pasukan penguatkuasaan kami sentiasa memantau majikan bagi memastikan caruman dibayar dengan tepat dan tepat pada masanya.
“Pembayaran caruman yang tepat pada masanya bukan sahaja penting untuk melindungi hak pekerja, malah memastikan simpanan persaraan mereka terus berkembang dan menyediakan asas kukuh bagi kesejahteraan kewangan jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, KWSP menggesa pekerja supaya memantau akaun mereka secara berkala bagi memastikan caruman dibayar oleh majikan.
Majikan pula digalakkan menggunakan platform i-Akaun bagi memastikan pembayaran caruman dibuat secara tepat dan mengikut jadual. - DagangNews.com








