Lebih 20 ahli Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia sertai MIHAS@Shanghai 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 20 ahli Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia sertai MIHAS@Shanghai 2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov – Vias Food Sdn. Bhd, ahli Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (Pengilang) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Three Squirrels Inc. sempena MIHAS@Shanghai 2025 yang berlangsung di Shanghai baru-baru ini.

 

Penganjuran MIHAS@Shanghai itu diadakan sempena penganjuran China International Import Expo (CIIE).

 


Presiden Pengilang, Datuk Dr. Azman  Yusoff berkata, inisiatif ini dianjurkan oleh MATRADE bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan halal Malaysia ke pasaran China. 

 

“MoU yang dimeterai antara  Vias Food dan Three Squirrels Inc adalah langkah penting dalam memperkukuh kehadiran produk tempatan di pasaran antarabangsa, khususnya melalui pengenalan produk inovatif “Musang King Sweet Sauce” ke pasaran China. 

 

“Langkah ini juga membuka laluan baharu kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran yang luas dan berdaya saing di rantau tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

t

 

t

 

solar

 


Penyertaan Pengilang di MIHAS@Shanghai 2025 melibatkan lebih 20 ahli yang mewakili pelbagai syarikat termasuk Munif Hijjaz Sdn. Bhd, Nims Adeliciouz Sdn. Bhd, Mascorn Sdn. Bhd dan Hang Tuah Sdn. Bhd.

 

Beliau berkata, aktiviti yang berlangsung mencerminkan semangat kerjasama dan komitmen tinggi pengusaha Bumiputera dalam mengembangkan pasaran serta mempromosikan produk Malaysia di peringkat global.

 

“Kejayaan ini turut diserlahkan dengan pengumuman jumlah jualan sebanyak RM1.24 bilion oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semasa pembukaan rasmi MIHAS@Shanghai 2025. 

 

“Pengilang turut merakamkan penghargaan kepada MATRADE, Kerajaan Negeri Pahang, serta agensi kerajaan seperti MARA, SME Corp. Malaysia dan PKNS atas bimbingan dan sokongan berterusan kepada para usahawan.

 

“Kejayaan ini mencerminkan keupayaan dan daya saing syarikat Bumiputera untuk bersaing di peringkat antarabangsa, selaras dengan misi Pengilang untuk memperkasa pengilang dan penyedia perkhidmatan Bumiputera ke arah ekonomi global yang mampan dan berimpak tinggi,” katanya. - DagangNews.com