KUALA LUMPUR 7 Mac - Lawatan kerajaan Sarawak ke Oslo dan Bergen, Norway, memberi pandangan berharga mengenai perancangan bandar untuk kawasan berbukit dan pedalaman, dengan memberi tumpuan kepada faktor sejarah, warisan budaya dan topografi untuk memperhalusi dan mempertingkatkan pelan induk bandar Kapit.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kunjungan itu juga mengukuhkan kerjasama dalam pembangunan tenaga hijau, terutamanya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen dan tenaga bio.
Katanya, delegasi Sarawak memberi tumpuan kepada kajian strategi perancangan bandar di Norway bagi memastikan pembangunan Sarawak bukan sahaja berfungsi dengan baik, tetapi juga mampan, selamat dan mencerminkan identiti serta warisan unik negeri tersebut.
"Lawatan ini membolehkan kami mempelajari kepakaran Norway dalam merancang bandar sambil menyepadukan aspek sejarah dan budaya dalam pembangunan bandar moden.
"Kami mahu memperhalusi pendekatan perancangan bandar Sarawak untuk mewujudkan bandar yang cekap dan mampan dari segi alam sekitar sambil memelihara warisan yang kaya," katanya seperti laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).
Awang Tengah, yang juga Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar berkata, perbincangan juga meneroka peluang kerjasama ekonomi, terutamanya dalam tenaga hijau, kerana Sarawak berhasrat untuk memajukan inisiatif tenaga boleh diperbaharui.
Semasa lawatan tersebut, delegasi Sarawak meninjau peranan Bergen sebagai pusat minyak dan gas Norway serta strategi pembangunan mampannya, terutamanya dalam sektor hidroelektrik dan tenaga bio.
Delegasi Sarawak juga melawat Taman Tenaga yang dibangunkan oleh CCB Energy, untuk mendapatkan pandangan menyeluruh mengenai pengurusan taman tenaga dan teknologi hijau yang sedang berkembang.
Lawatan berkenaan menekankan potensi perkongsian antara Malaysia, khususnya Sarawak dan Norway dalam sektor ekonomi dan tenaga boleh diperbaharui, termasuk teknologi hidrogen, untuk mendorong pembangunan mampan. - DagangNews.com








