Lapangan Terbang Sandakan bakal dinaiktaraf dalam masa terdekat - Kementerian Pengangkutan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lapangan Terbang Sandakan bakal dinaiktaraf dalam masa terdekat - Kementerian Pengangkutan

Gambar fail BERNAMA
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Nov – Kementerian Pengangkutan sedang berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan dan naik taraf di Lapangan Terbang Sandakan, Sabah untuk menampung peningkatan jumlah penumpang.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara cadangan dalam projek tersebut termasuk penambahan jejantas udara (aerobridge) serta memperluaskan balai ketibaan. 

 

Beliau berkata, projek itu dijangka dapat dilaksanakan dalam masa terdekat kerana akan dibiayai melalui Dana Pembangunan Lapangan Terbang (Airport Development Fund-ADF).

 

“ADF ditubuhkan di bawah perjanjian operasi baharu dengan MAHB pada 2024.

 

“Dana itu diwujudkan untuk memastikan projek penambahbaikan lapangan terbang, khususnya di lapangan terbang kecil atau wilayah, dapat dilaksanakan tanpa memerlukan peruntukan besar daripada Belanjawan Persekutuan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang membangkitkan permasalahan di lapangan terbang itu yang semakin sesak di Dewan Rakyat hari ini.

 

Di bawah perjanjian itu, separuh daripada kutipan caj perkhidmatan penumpang disalurkan ke dalam dana berkenaan bagi tujuan pembangunan.

 

Dalam pada itu, Loke berkata, kementerian juga akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk memaklumkan penumpang kapal terbang mengenai jumlah subsidi kerajaan yang disalurkan untuk tiket pada musim perayaan. 

 

Beliau berkata, orang ramai mungkin tidak menyedari jumlah subsidi yang disediakan kerajaan untuk meringankan kos perjalanan antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan, semasa musim perayaan utama.

 

“Kerajaan tahun ini memperuntukkan RM19.5 juta untuk memberi subsidi 39,744 tiket penerbangan. 

 

“Ini membolehkan penumpang membayar maksimum RM499 bagi perjalanan sehala semasa Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai, Kaamatan dan Krismas.

 

“Purata subsidi setiap tiket ialah RM491, sedangkan tambang purata pasaran semasa musim perayaan mencecah RM990,” katanya. - DagangNews.com