Lanjutan kontrak satu tahun AWC dijangka sumbang RM6.4 juta kepada keuntungan FY26 – Malacca Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lanjutan kontrak satu tahun AWC dijangka sumbang RM6.4 juta kepada keuntungan FY26 – Malacca Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Nov – AWC Berhad menerima suntikan keyakinan pelabur selepas anak syarikat milik penuhnya, Ambang Wira Sdn Bhd (AWSB), memperoleh lanjutan kontrak satu tahun daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi Perkhidmatan Sokongan Bangunan di zon Selatan (Melaka, Negeri Sembilan dan Johor) dan Sarawak.

 

Menurut Malacca Securities lanjutan kontrak ini adalah berita positif untuk AWC, kerana ia menjamin pendapatan berulang daripada konsesi kerajaan untuk setahun lagi dan memberikan keterlihatan keuntungan sehingga akhir FY26.

 

Tambahnya firma broker saham itu, kontrak tersebut meningkatkan buku pesanan AWC daripada RM791.4 juta kepada RM855.1 juta, dengan nisbah perlindungan 2.1x berbanding hasil FY25.

 

"Dengan margin bersih dianggarkan 10%, kami menjangkakan kontrak lanjutan ini akan menyumbang sekitar RM6.4 juta kepada keuntungan FY26, sekali gus mengukuhkan prestasi kewangan syarikat," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Malacca Securities, tempoh lanjutan kontrak adalah dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026, dengan nilai kontrak dianggarkan RM63.7 juta, termasuk projek Critical Asset Refurbishment Programme (CARP).

 

Firma itu menegaskan lanjutan kontrak ini menambah keyakinan pelabur terhadap aliran tunai berulang AWC dan memperkukuhkan kedudukan kewangan syarikat menjelang FY26.

 

Sehubungan itu Malacca Securities mengekalkan saranan HOLD dengan harga sasaran RM0.66, berdasarkan P/E 10x terhadap EPS FY27f sepenuhnya terbitan 6.58 sen. - DagangNews.com