Langkah intervensi awal akan dilaksana segera pastikan ketahanan ekonomi negara - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Langkah intervensi awal akan dilaksana segera pastikan ketahanan ekonomi negara - PM Anwar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Mac - Beberapa langkah intervensi awal yang proaktif dan tuntas akan dilaksanakan segera bagi memastikan ketahanan ekonomi negara terus terpelihara di sebalik perkembangan geopolitik semasa dan tekanan ekonomi global susulan konflik di Asia Barat.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut menggembleng usaha menjamin keterjaminan bekalan tenaga, termasuk mempelbagaikan sumber.

 

Selain itu katanya, kerajaan juga akan meneroka laluan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan berisiko seperti Selat Hormuz.

 

"Situasi ini akan terus dipantau rapi, dengan maklumat disalurkan secara telus kepada rakyat. 

 

"Dalam mendepani cabaran ini, ketenangan, disiplin dan semangat kebersamaan amat penting untuk memastikan negara kekal stabil dan berdaya tahan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

 

Terdahulu Perdana Menteri telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil. 3/2026 bagi meneliti perkembangan geopolitik semasa, tekanan ekonomi global serta implikasi keselamatan susulan konflik di Asia Barat.

 

"Walaupun masih dalam suasana perayaan Aidilfitri, kesejahteraan rakyat khususnya kos sara hidup kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI," katanya. - DagangNews.com