LRT3 patut siap awal, titah Sultan Selangor selepas menaiki tren berkenaan hari ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LRT3 patut siap awal, titah Sultan Selangor selepas menaiki tren berkenaan hari ini

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Julai - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah laluan LRT3 Shah Alam sepatutnya disiapkan mengikut perancangan asal, namun Baginda percaya terdapat hikmah di sebalik kelewatan tersebut.

 

"Alangkah baiknya kalau laluan LRT3 ini siap seperti perancangan asal kerana Baginda berpandangan perkhidmatan tren ini adalah kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk kesenangan rakyat. 

 

"Dengan kesabaran rakyat Selangor dan Alhamdulillah, akhirnya LRT3 Laluan Shah Alam ini siap dan boleh digunakan. 

 

"Beta percaya ada hikmah yang Allah S.W.T. ingin tunjukkan daripada kelewatan ini,'' titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Diraja Selangor hari ini.

 

Sultan01

 

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menaiki laluan yang baharu dibuka itu dari Stesen Bandar Utama di Petaling Jaya ke Stesen Johan Setia di Klang.

 

Dalam lawatan itu, baginda yang tiba pada 10.30 pagi diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menaiki gerabak khas melalui 20 stesen yang mengambil masa kira-kira sejam.

 

Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa syukur kerana laluan rel yang dinantikan sekian lama itu akhirnya menjadi kenyataan, sambil menyifatkannya sebagai projek yang akan meningkatkan kualiti hidup rakyat, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selesa dan mampan.

 

Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap kesabaran rakyat Selangor sepanjang tempoh pembinaan projek itu dan berharap lima stesen yang sebelum ini ditangguhkan, iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik, dapat disiapkan mengikut perancangan.

 

Sultan Sharafuddin turut merakamkan penghargaan kepada Prasarana Malaysia Berhad, MRCB serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan, sambil menyatakan bahawa lebih 13,000 individu telah menyumbang kepada pembinaannya sepanjang tempoh 10 tahun sembilan bulan.

 

Sultan02

 

“Walaupun stesen, landasan dan tren merupakan hasil yang dapat dilihat daripada projek ini, kejayaan sebenar projek ini mencerminkan dedikasi, profesionalisme dan komitmen lebih 13,000 individu yang mencurahkan masa serta kepakaran mereka sepanjang pembinaannya,” titah baginda.

 

Baginda turut menyeru Prasarana supaya memastikan operasi laluan LRT3 Shah Alam berjalan lancar dengan gangguan yang minimum serta menggesa orang ramai memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan tersebut bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara lebih meluas. - DagangNews.com