KUALA LUMPUR 21 Mac — Lagenda Properties Berhad membeli tanah seluar 55.9 hektar berstatus pegangan bebas di Senawang, Negeri Sembilan, berharga RM60.2 juta.
Pemaju hartanah itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Vivafirst Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan unit Land & General Berhad (L&G) iaitu Bright Term Sdn Bhd (BTSB).
Pengambilalihan itu disifatkan Lagenda Properties sebagai langkah strategik untuk mengembangkan simpanan tanah dan bertapak di Negeri Sembilan, menandakan kehadirannya di negeri yang keenam sebagai sebahagian prospek pertumbuhan di seluruh negara.
Syarikat tersebut berhasrat untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat kawasan Senawang sambil menangani peningkatan permintaan di negeri berkenaan untuk perniagaan rumah mampu milik.
"Senawang sedang pesat membangun sebagai hab perindustrian dan kediaman utama, dengan tanah subjek dikelilingi oleh lima taman perindustrian yang mantap, termasuk SPD Tech Valley yang baru dibangunkan," kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kehadiran banyak kilang yang semakin berkembang ini katanya, dijangka menarik ramai pekerja mahir dan memacu permintaan kepada perumahan yang mampan.
Lagenda Properties merancang untuk membiayai proses pengambilalihan tanah tersebut melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.
Dalam pemfailan yang berasingan pula, L&G berkata bahawa kumpulan itu memperoleh enam bidang tanah itu pada 22 Disember 2010, dengan kos keseluruhan sebanyak RM14.13 juta.
Harga pelupusan RM60.2 juta telah dipersetujui atas dasar 'pembeli sanggup, penjual sanggup', dengan mengambil kira kos permodalan BTSB sebanyak RM18.69 juta, seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangan disatukan terauditnya yang terkini untuk FY2024.
L&G berkata penjualan tanah itu dijangka membuka kunci nilai asetnya, menambah baik aliran tunai dan memberikan fleksibiliti kewangan yang lebih besar untuk kumpulan tersebut.
Sebahagian daripada hasil penjualan itu akan digunakan untuk urusan modal kerja dan projek pembangunan hartanah lain, katanya.
Ketika penutupan pasaran pada petang Khamis, saham Lagenda Properties turun satu sen atau 0.8 peratus kepada RM1.22 untuk menilai modal syarikat itu pada RM1.02 bilion.
Sementara itu, saham L&G naik setengah sen atau 5 peratus kepada 10.5 sen, yang memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM312.2 juta. - DagangNews.com








