LAC Med pertimbang semakan harga kontrak bagi menyerap tekanan inflasi pada 2H26 - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LAC Med pertimbang semakan harga kontrak bagi menyerap tekanan inflasi pada 2H26 - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Mac — Syarikat pengedaran peralatan perubatan, LAC Medical Group Bhd (LAC Med) menjangkakan tekanan inflasi berpotensi mendatangkan risiko kepada operasi syarikat pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2H26), kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sehubungan itu syarikat itu kini sedang mendapatkan penjelasan daripada prinsipal berhubung kemungkinan semakan harga produk susulan peningkatan kos, namun setakat ini masih belum menerima sebarang kepastian mengenai perkara tersebut.

 

"Walau bagaimanapun, syarikat berpandangan bahawa sebarang peningkatan kos yang mungkin berlaku berkemungkinan akan dipindahkan kepada pelanggan bagi mengekalkan kestabilan margin keuntungan" katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB, strategi pengurusan menetapkan lebih awal harga jualan bagi kebanyakan kontrak membantu mengurangkan impak turun naik kos dalam jangka pendek.

 

Sementara itu RHB mengekalkan saranan BELI saham LAC Med dengan harga sasaran (TP) MYR1.14, berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 15.7 kali bagi tahun kewangan 2026 (FY26F) yang menawarkan potensi kenaikan sekitar 43%.

 

RHB berkata, pertumbuhan aliran pendapatan berulang dijangka membantu mengurangkan kesan turun naik bermusim terhadap pendapatan syarikat di samping menyokong pengembangan margin keuntungan.

 

Menurut firma itu lagi, LAC Med juga sedang aktif mendapatkan prinsipal baharu yang dapat melengkapkan portfolio produk serta penawaran perkhidmatan sedia ada.

 

Pada masa sama, operasi syarikat di Indonesia yang bermula perlahan pada FY25 kini menunjukkan peningkatan momentum pada FY26 susulan peluasan kehadiran di Sumatra, Surabaya dan Sulawesi.

 

RHB menjangkakan lebih banyak prinsipal baharu akan ditambah bermula separuh kedua tahun kewangan 2026 (2H26), sekali gus menyokong pertumbuhan perniagaan kumpulan di pasaran tersebut.

 

Dalam pada itu pengurusan turut melihat risiko minimum daripada konflik di Timur Tengah, kerana harga jualan biasanya telah ditetapkan lebih awal manakala kos kekal stabil.

 

Menurut RHB, prospek operasi LAC Med dilihat kekal kukuh meskipun harga saham syarikat itu mengalami kelemahan sejak kebelakangan ini.

 

Oleh itu katanya, tiada perubahan dibuat terhadap anggaran pendapatan syarikat kerana asas perniagaannya masih stabil, sekali gus menjadikan penurunan harga saham sebagai peluang kepada pelabur untuk mengumpul saham.

 

Dalam masa sama, kumpulan itu terus dilihat sebagai antara penerima manfaat utama daripada perkembangan dan pengembangan sektor penjagaan kesihatan di Malaysia, khususnya dalam segmen pengedaran peralatan dan perkhidmatan perubatan.

 

Pertumbuhan sektor tersebut dijangka terus menyokong permintaan terhadap peralatan perubatan, selain membuka lebih banyak peluang kontrak serta projek baharu kepada syarikat.

 

Bagaimanapun, beberapa risiko masih perlu diberi perhatian termasuk kemungkinan perubahan peraturan dalam industri, kebergantungan yang tinggi kepada pembekal utama serta ketidakupayaan mendapatkan projek atau pesanan baharu.

 

Selain itu, kelewatan dalam pelaksanaan projek atau penghantaran pesanan juga berpotensi menjejaskan prestasi kewangan syarikat sekiranya berlaku dalam tempoh yang berpanjangan. - DagangNews.com