KWSP umum dividen 6.15% untuk Simpanan Konvensional dan Syariah, pembayaran keseluruhan RM79.6 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWSP umum dividen 6.15% untuk Simpanan Konvensional dan Syariah, pembayaran keseluruhan RM79.6 bilion

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Feb - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen lebih rendah 6.15 peratus untuk kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah bagi tahun berakhir 31 Disember 2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata jumlah agihan bagi Simpanan Konvensional membabitkan RM67.1 bilion dan RM12.5 billion untuk Simpanan Syariah.

 

"Keseluruhan jumlah agihan pendapatan untuk 2025 adalah RM79.6 bilion," katanya pada Taklimat Prestasi Kewangan KWSP di Menara KWSP, Kwasa Damansara, di sini hari ini.

 

 

 

 

 

Ini merupakan tahun kedua dana persaraan itu memberikan kadar agihan yang sama bagi kedua-dua kategori simpanan, selepas pembayaran 6.3% bagi tahun 2024.

 

Ahmad Zulqarnain berkata, dividen yang sedikit lebih rendah itu terutamanya disebabkan oleh pasaran Malaysia yang lebih lemah.

 

Bagaimanapun katanya, pendapatan pelaburan kasar KWSP meningkat 6.3% tahun ke tahun kepada RM79.15 bilion, berbanding RM74.46 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Turut menjejaskan prestasi ialah kesan pengukuhan ringgit terhadap portfolio antarabangsa KWSP, yang telah melepasi paras setengah trilion ringgit dan kini merangkumi 38% daripada asetnya.

 

Jumlah aset keseluruhan sebanyak RM1.409 trilion meningkat 12.72% berbanding RM1.25 trilion pada tahun sebelumnya.

 

Bagi 2024, KWSP memberikan dividen 6.3 peratus untuk kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah, membabitkan jumlah keseluruhan agihan untuk sebanyak RM73.24 bilion.

 

Dalam pada itu, KWSP akan mengekalkan peruntukan aset strategik sedia ada iaitu 45% dalam pendapatan tetap, 42% ekuiti awam, 3% pasaran wang dan 10% dalam pasaran persendirian merangkumi hartanah, infrastruktur serta syarikat swasta.

 

Bagi prospek ekonomi, KWSP mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada kadar konservatif 4.3% bagi 2026, dalam julat unjuran rasmi 4% hingga 4.8%, namun dengan risiko cenderung kepada pertumbuhan lebih tinggi susulan prestasi memberangsangkan beberapa suku kebelakangan ini.

 

“Kami percaya Malaysia berada pada kedudukan yang baik dengan minat pelabur domestik dan antarabangsa yang tinggi terhadap prospek pertumbuhan negara. Tiga tema utama yang dijangka memacu pertumbuhan dekad akan datang ialah penjagaan kesihatan, pendigitalan dan tenaga,” ujarnya.

 

Dari segi keahlian, jumlah ahli meningkat 11.5% kepada 18.1 juta, disumbangkan oleh 1.5 juta pekerja migran yang mendaftar buat kali pertama di bawah dasar baharu.

 

Bilangan ahli aktif turut melonjak 20.6% kepada 10.6 juta, manakala penyumbang sukarela berjumlah kira-kira 924,000 orang.

 

Sepanjang tahun kewangan tersebut, jumlah caruman meningkat 10.4% kepada RM130.2 bilion, manakala pengeluaran menurun 6.6% susulan peningkatan pada 2024 berikutan pengenalan Akaun 3 yang boleh diakses sepenuhnya.

 

Ahmad Zulqarnain berkata, peningkatan caruman sukarela kepada 16% daripada jumlah keseluruhan caruman atau RM19.2 bilion, berbanding 13% tahun lalu, merupakan perkembangan yang amat positif.

 

 

 

 

 

 

“Kami mahu melihat lebih ramai rakyat menyertai caruman sukarela, khususnya melalui i-Simpan dan i-Saraan, kerana yang lebih penting adalah penyertaan, bukan semata-mata jumlah ringgit yang disumbangkan,” katanya. - DagangNews.com