KUALA LUMPUR 5 Feb - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meningkatkan pegangan sahamnya dalam IJM Corporation Berhad, satu keputusan yang bakal menarik minat pasaran mengambil kira situasi semasa yang menyelubungi IJM.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, KWSP telah memperoleh 679,600 unit saham pada 30 Januari 2026 bagi tujuan pelaburan langsung.
Dengan pengambilalihan itu KWSP kini memiliki 710.84 juta unit atau bersamaan 20.28% daripada jumlah saham syarikat tersenarai itu.
Citigroup Nominees (Tempatan) Sdn Bhd bertindak bagi pihak KWSP dalam transaksi berkenaan.
Pada 12 Januari, Sunway Berhad telah mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh kesemua 3.51 bilion saham IJM Corporation Berhad pada harga RM3.15 sesaham, melibatkan jumlah pertimbangan sekitar RM11.0 bilion.
Transaksi ini dijangka diselesaikan melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baru Sunway.
Tawaran Sunway hanya akan berjaya jika lebih 50 peratus pemegang saham IJM menerimanya.
Pemegang saham IJM mempunyai masa sehingga 6 April, jam 5 petang untuk membuat keputusan sama ada menerima atau menolak cadangan tersebut.
Tawaran pengambilalihan ini menandakan salah satu transaksi korporat terbesar di pasaran saham Malaysia setakat awal 2026, dan akan menjadi tumpuan pelabur tempatan serta institusi. - DagangNews.com








