KUALA LUMPUR 7 Mac — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) muncul sebagai pemegang saham utama dalam ITMAX System Bhd selepas pegangan dananya melepasi ambang pendedahan 5% dalam syarikat penyedia sistem dan penyelesaian bersepadu bandar pintar itu.
Menurut pemfailan ITMAX kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, KWSP memperoleh satu juta saham atau bersamaan pegangan 0.097% pada Selasa (3 Mac).
Pembelian tersebut meningkatkan jumlah pegangan KWSP dalam syarikat itu kepada 5.005% atau bersamaan 51.84 juta saham.
Pemegang saham terbesar ITMAX ketika ini ialah Tan Sri Tan Boon Hock yang menguasai 48.413% kepentingan melalui Sena Holdings Sdn Bhd.
Anaknya, William Tan Wei Lun yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX, turut dianggap sebagai pemegang saham utama menerusi kepentingannya dalam Sena Holdings.
Dari segi prestasi kewangan, ITMAX terus mencatatkan pertumbuhan kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025).
Syarikat itu merekodkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 16.4% kepada RM93.54 juta berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan hasil sebanyak 12.1% kepada RM246.97 juta.
Dalam dagangan di Bursa Malaysia, saham ITMAX ditutup lapan sen atau 1.72% lebih rendah pada RM4.58 pada Jumaat, sekali gus memberikan syarikat itu permodalan pasaran sekitar RM4.74 bilion. - DagangNews.com








