KWSP lantik Mohamad Hafiz Kassim sebagai Ketua Pegawai Pelaburan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWSP lantik Mohamad Hafiz Kassim sebagai Ketua Pegawai Pelaburan baharu

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 1 DisKumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan Mohamad Hafiz Kassim sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) yang baharu, manakala Ahmad Rizal Omar dinamakan sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) berkuat kuasa hari ini.

 

KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan, Mohamad Hafiz sebelum ini memegang jawatan CFO dan digantikan oleh Ahmad Rizal yang sebelum ini merupakan Ketua Jabatan Kewangan dana persaraan itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, Mohamad Hafiz membawa pengalaman luas, kepimpinan yang mantap serta pemahaman mendalam mengenai falsafah pelaburan jangka panjang KWSP.

 

“Mohamad Hafiz membawa kekayaan pengalaman, kepimpinan yang stabil serta kefahaman kukuh terhadap falsafah pelaburan jangka panjang KWSP. Latar belakang beliau dalam bidang pelaburan dan kewangan menjadikan beliau individu paling sesuai untuk menerajui portfolio kritikal ini,” katanya.

 

Mohamad Hafiz menggantikan Rohaya Mohammad Yusof, yang telah menerajui bahagian pelaburan dana itu selama lima tahun.

 

Menurut KWSP, Mohamad Hafiz yang menerima latihan dalam bidang perakaunan dan kewangan, telah berkhidmat dengan dana persaraan itu sejak 2008 dan pernah memegang beberapa jawatan kanan merangkumi portfolio ekuiti persendirian, pasaran persendirian, pasaran modal serta hartanah.

 

Sementara itu, Ahmad Rizal Omar merupakan seorang akauntan bertauliah dengan pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kewangan korporat. 

 

Sebelum menyertai KWSP, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan PLUS Malaysia Bhd, selain memegang jawatan kanan di Malaysia Airports Holdings Bhd, Khazanah Nasional Bhd dan Axiata Group Bhd.

 

Ahmad Zulqarnain berkata, pelantikan Ahmad Rizal dijangka dapat terus memperkukuhkan pengurusan kewangan serta tadbir urus dana persaraan itu.

 

“Kepimpinan terbukti serta ketajaman kewangan beliau akan terus memperkukuh pengurusan kewangan dan tadbir urus KWSP,” katanya.

 

Dalam pada itu, Ahmad Zulqarnain turut merakamkan penghargaan kepada Rohaya Mohammad Yusof atas sumbangan beliau sepanjang 17 tahun perkhidmatan bersama KWSP. - DagangNews.com