KWSP di landasan untuk pembayaran dividen lebih tinggi susulan pendapatan pelaburan kukuh bagi 9M25 - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWSP di landasan untuk pembayaran dividen lebih tinggi susulan pendapatan pelaburan kukuh bagi 9M25 - Penganalisis

KUALA LUMPUR 17 Nov - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka memberikan dividen lebih tinggi kepada ahlinya, susulan pertumbuhan pendapatan pelaburan dua digit, menurut seorang ahli ekonomi.

 

KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025 (9M2025), meningkat 11 peratus daripada RM57.57 bilion yang dicatatkan pada 9M2024.

 

Bagi suku ketiga 2025 (3Q2025), jumlah pendapatan pelaburan meningkat kepada RM25.07 bilion, lonjakan 27 peratus daripada RM19.67 bilion pada 3Q2024.

 

Saham terus menjadi penyumbang terbesar, menjana RM16.95 bilion atau 68 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan dana bagi suku tersebut.

 

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pertumbuhan pendapatan pelaburan mencerminkan strategi pelaburan KWSP, terutamanya kepelbagaian ke dalam pelbagai kelas aset dan pendedahan geografi.

 

"Peningkatan pelaburan membolehkan dana menghadapi ketidaktentuan pasaran dengan berkesan. Ini memerlukan kemahiran dan disiplin kerana kejutan pasaran pada awal April 2025 akibat tarif Hari Pembebasan Amerika Syarikat (AS) boleh dengan mudah mempengaruhi selera risiko ke arah strategi defensif," katanya.

 

Beliau berkata ketepatan masa dan kualiti keputusan pelaburan KWSP memainkan peranan penting dalam menentukan nilai pelaburan.

 

"Ia juga menunjukkan bahawa KWSP mendapat nasihat yang baik daripada penyelidikan pelaburan sendiri dan pengurus dana yang berkemahiran tinggi dan berpengalaman," tambahnya.

 

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam menyatakan risiko penurunan dalam pelaburan masih wujud bagi KWSP, terutamanya penilaian saham berkaitan kecerdasan buatan, kerana pembetulan harga boleh menjejaskan prestasi pelaburan di peringkat global.

 

"Selain itu, ketepatan masa pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS pada Disember 2025 kekal sebagai risiko penurunan bagi KWSP. Prestasi suku keempat akan menjadi faktor utama yang menentukan kadar dividen yang boleh diumumkan tahun hadapan," tambahnya.

 

Pada 1 Mac 2025, KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah pembayaran sebanyak RM63.05 bilion, dan 6.30 peratus bagi Simpanan Syariah, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM10.19 bilion.

 

Ini membawa jumlah pembayaran dividen bagi 2024 kepada RM73.24 bilion, memberi manfaat kepada lebih 16 juta ahli. - BERNAMA